MENU

Pengenalan

Sejarah Klang telah muncul lebih awal daripada Melaka. Negara ini adalah sebahagian dari jajahan takhluk kerajaan Sri Vijaya dan Majapahit. Asal usul nama Klang adalah dari bahasa Mon-Khymer iaitu "Klong". Klong boleh diertikan sebagai gudang seperti mana yang dikemukakan oleh C.O. Blagden yang menyatakan Klang menjadi sebuah Pelabuhan terpenting yang mempunyai banyak gudang-gudang. Manakala pendapat Charles A. Fishr yang menyatakan "Klang" itu bermaksud "terusan" atau jalan air.

Pendapat ini dipersetujui di mana Klang mempunyai banyak jalan air iaitu anak-anak sungai tersebut ialah Sg. Klang, Sg. Bertek, Sg. Pinang, Sg. Sementa, Sg. Agas, Sg. Kandis, Sg. Binjai, Sg. Kapar, Sg. Jati, Sg. Aur, Sg. Rasau dan Sg. Putus. Nama sungai ini terus kekal sehingga ke hari ini. Klang menjadi penting hanya selepas Kuala Selangor merosot khususnya selepas kemangkatan Sultan Muhammad (1826-1857). Sehinggalah pada tahun 1875, Klang di pilih sebagai ibu kota Selangor sebelum ditukar kepada Kuala Lumpur pada 1880. Pada tahun 1886, Klang dikatakan sebuah tempat yang cantik dan bersih.

Klang Bandar Bersejarah

Klang merupakan di antara bandar yang tertua di Malaysia. Mengikut sejarah, Klang mula diduduki sejak 2,000 tahun yang dahulu lagi. Catatan yang mula-mula ditulis mengenai Klang bermula pada Zaman Kerajaan Majapahit kira-kira 600 tahun dahulu. Di sinilah bermulanya detik-detik kebangkitan Klang yang ketika dahulu tidak terikat dengan mana-mana kawasan. Malah pada ketika itu Klang adalah sebuah kuasa besar di bawah pentadbiran Sultan Suleiman. Bagaimanapun, akibat ketidaksefahaman maka berlakulah perang saudara antara Raja Mahadi dengan Raja Abdullah iaitu waris Sultan Suleiman. Ketika itu, Klang di dalam keadaan huru-hara dengan dibayangi peperangan untuk merebut kekuasaan. Kota Raja Mahadi yang terletak berhampiran Bangunan Majlis Perbandaran Klang adalah antara peninggalan perang saudara yang tercetus disuatu ketika dahulu.

Tapak Bangunan MPK yang ada sekarang dahulunya adalah bekas tapak Kota Raja Mahadi yang pernah menjaid benteng pertahanan yang penting bagi mengekang kemaraan musuh semasa tercetusnya peperangan tersebut.Bagaimanapun akibat perubahan masa dan struktur bangunan yang tidak kukuh, kota yang dibina pada tahun 1860 telah roboh sebahagiannya. Apa yang tinggal cuma pintu gerbang yang menjadi mercu tanda kekuatan empayar Raja Mahadi. Bagaimanapun banyak bahan sejarah yang terkubur akibat perubahan arus dan masa. Salah satunya ialah ada sumber mengatakan Kota Raja Mahadi terletak di atas puncak bukit ini dilengkapi dengan terowong yang boleh menembusi ke Sungai Klang. Namun lorong tersebut kini telah tertimbus.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 7 March 2024 - 11:36am