Penguatkuasaan Tandas Awam Tahun 2024
Jabatan Kesihatan Mpklang
19/1/2024 - Penguatkuasaan terhadap tandas awam akan terus dijalankan di kawasan pentadbiran Majlis Bandar Raya Klang. Penguatkuasaan ini adalah bagi memastikan tandas awam berada di tahap bersih, menawan dan wangi selaras dengan arahan KPKT dalam mewujudkan budaya mengutamakan kebersihan tandas awam yang berkait rapat dengan imej negara khususnya untuk destinasi utama pelancongan.
Semua pihak diseru untuk bekerjasama di dalam menjaga kebersihan tandas awam serta menyokong usaha Majlis ini.
Terdahulu dua (2) kompaun di bawah kesalahan UUK 24 (3) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (MPK) 2007 yang meletakkan kesalahan kepada pemilik perniagaan stesen minyak yang tidak menyediakan kemudahan tandas yang bersih kepada pengguna. Dua (2) kompaun lagi dikeluarkan di bawah UUK 4A Undang-Undang Kecil Tandas Awam (MPK) 2007 kepada pengguna & pemilik tandas awam yang tidak menjaga kebersihan tandas.