MAJLIS PERISYTIHARAN BANDARAYA DIRAJA KLANG
DYMM Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengisytihar dan menetapkan bahawa Majlis Perbandaran Klang, bermula pada 23 November 2023 akan menjadi sebuah Bandar Raya Diraja buat selama-lamanya dan hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
Majlis Peristiharaan Bandaraya Diraja Klang telah diadakan di Hotel Wyndham Klang pada 5hb Februari baru baru ini. Baginda turut mengurniakan watikah pengisytiharan kepada Datuk Bandar Klang , YBhg. Datin Paduka Noraini Roslan.
Daerah terbesar di Selangor yang berstatus Majlis Perbandaran Klang (MPK) sejak 1977 itu suatu ketika dahulu pernah menjadi ibu negeri Selangor, sebelum diganti oleh Kuala Lumpur dan kini, Shah Alam.
Berikut adalah intipati penting dalam titah Baginda semasa Majlis Perisytiharan MBDK :-
• Baginda mahu melihat Klang menjadi sebuah bandaraya yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat negeri Selangor dan dikenali dengan imej bandaraya bersih di samping memiliki daya tarikan warisan bersejarah.
• MBDK perlu beri perhatian kepada tahap kebersihan kawasan perumahan, sungai dan kemudahan prasarana yang baik.
• Tumpuan kepada penyusunan semula sektor perumahan, kawasan perniagaan dan juga usaha-usaha mengatasi masalah populasi burung gagak dan pengawalannya.
• MBDK harus ambil serius tentang masalah banjir yang sering melanda Klang dengan memikirkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasinya.
• Promosikan industri pelancongan di lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Klang, sekaligus mampu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk.
• Baginda mahu pengiktirafan status bandaraya mendorong pihak berkuasa menyediakan perkhidmatan yang lebih efisyen, utiliti awam yang lebih baik serta perkhidmatan perbandaran yang cekap, demi kesejahteraan rakyat Klang.
• Baginda mencadangkan agar jumlah golongan profesional dalam Ahli Majlis MBDK sekurang-kurangnya memenuhi 50 peratus dari jumlah keseluruhan Ahli Majlis dan menggambarkan komposisi kaum yang menetap di Klang.
• Baginda menggesa semua Ahli Majlis turun padang, melihat sendiri masalah rakyat. Amalkanlah pendekatan berbincang dan bertindak segera tanpa perlu menunggu aduan dibuat baru mahu bertindak.
Sumber : FB Majlis Bandaraya Diraja Klang
Sila klik pautan di sini