MENU

 

MPK bersama agensi terlibat menggempur struktur binaan haram dalam beberapa operasi dijalankan baru-baru ini.
 

KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan menggempur sebuah struktur binaan di Lintang Sungai Keramat 6, Klang Utama, di sini yang dijadikan sarang penagih dadah.

Yang Dipertuanya, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, menerusi aduan awam yang diterima, pihaknya turut mendapati terdapat aktiviti penjualan dan pengumpulan barangan lusuh di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, berikutan itu, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang telah mengeluarkan notis atas kesalahan di bawah Seksyen 425 (1)(a) Kanun Tanah Negara ke atas pihak terlibat kerana menceroboh tanah kerajaan.

"Tindakan pemotongan bekalan elektrik dan air juga dilaksanakan serta-merta kerana melakukan penyambungan secara haram," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Antara agensi yang turut sama dalam operasi berkenaan adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), PTD Klang dan jabatan-jabatan dalaman MPK.

Menerusi operasi berlainan, Ahmad Fadzli berkata, MPK turut mengambil tindakan ke atas dua struktur gerai sekitar Bandar Sultan Suleiman, di sini, yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 46(1)(a)(b) Akta Jalan Parit dan Bangunan kerana membuat pembinaan kekal di atas rizab jalan.

"Operasi seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa bagi menangani isi binaan haram dan kerjasama dengan agensi berkaitan akan dipertingkatkan lagi," katanya.
 

Sumber :  Sinar Harian
Sila klik pautan di sini

Kemaskini Terakhir: Isnin, 18 Oktober 2021 - 4:15pm