MENU

 

PETALING JAYA: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan mengetatkan lagi garis panduan keselamatan dan kebersihan premis demi keselesaan pelanggan.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata garis panduan ini adalah untuk menangani isu melibatkan kebersihan, keselamatan dan kesesakan gerai-gerai yang ditempatkan di dalam serta luar premis kedai, restoran atau medan selera.

“Antaranya ialah jumlah premis restoran dan kedai makan yang dibenarkan maksimum lima unit bagi premis lot tepi manakala di lot tengah tiga unit.

“Kiraan bagi medan selera adalah berdasarkan saiz ruang terbuka medan selera yang dibahagikan dengan 330.68 kaki persegi bagi mendapatkan jumlah gerai yang dibolehkan di dalam sesuatu medan selera

“Manakala lesen gerai dalam kedai akan dilesenkan kepada pemegang lesen induk sahaja,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Norfiza, menurut aturan Mesyuarat Penuh Majlis Bilangan 12 (2023) pada 28 Disember 2023 telah memutuskan pemegang lesen gerai dalam kedai boleh diperbaharui seperti sedia ada.

Selain itu, katanya, pihak majlis akan membuat semakan semula di premis dalam tempoh enam bulan bagi melihat kesesuaian dari aspek keselamatan, keselesaan dan kesesakan di dalam premis serta beberapa peraturan lain.

“Gerai yang berada di luar premis tidak akan diperbaharui lesen sehingga gerai tersebut ditempatkan di dalam premis.

“Pembaharuan lesen gerai dalam kedai boleh dilakukan di Kaunter Bersepadu Majlis Perbandaran Klang atau secara dalam talian dengan mengemukakan salinan lesen induk 2023, lesen gerai dalam kedai tahun 2023 dan suntikan ‘typhoid’ yang masih sah,” katanya.

Justeru, Norfiza berkata pihak MPK amat menitikberatkan isu berkaitan kebersihan kerana melibatkan keselamatan pelanggan serta penguatkuasaan akan dijalankan dari masa ke masa.

Untuk rekod, Pelaksanaan Garis Panduan Pelesenan Gerai Dalam Kedai Majlis Perbandaran Klang 2023 telah diluluskan pada Mac 2023 dan berkuatkuasa bermula 1 April tahun yang sama.

Sumber : SumberKini
Sila klik pautan di sini  

 

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am