MENU

 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datin Paduka Noraini Roslan berucap ketika Majlis Anugerah Komuniti Mampan MPK 2023 di KSL Esplanade Hotel, Klang pada 20 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

KLANG, 21 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) melaksanakan pelbagai program sepanjang tahun ini bagi mencapai matlamat pembangunan mampan (SDG).

Yang Dipertuanya Datin Paduka Noraini Roslan berkata ia meliputi program komuniti strata, Hari Tanpa Kenderaan, kebun komuniti, kejiranan, penanaman pokok, kitar semula dan penjagaan sungai.

Menurutnya, program lain yang rancak berjalan seperti projek berdaya huni, MyPlace, Lorong Basikal, Pejalan Kaki, Bandar Pintar, Bandar Selamat dan Rejuvenasi Bandar.

“Pelaksanaan SDG 17 (Meningkatkan Kesepaduan Dasar Untuk Pembangunan Mampan) memberi impak positif apabila MPK meraih pelbagai pencapaian hasil kesepaduan semua pihak,” katanya berucap pada majlis Anugerah Komuniti Mampan MPK di sini semalam.

Antara kejayaan MPK dipilih lima finalis PBT kategori perbandaran terbaik, Anugerah Penghargaan Bandar Mampan (Murninets), Anugerah ‘Smart City Early Adopter’ dan Anugerah ‘Competion of SDG Roadmap’.

Mengulas lanjut, Noraini berkata acara hari ini sebagai meraikan dan menyokong inisiatif semua pihak yang menyokong kelestarian serta SDG.

“Justeru ianya diharap menyuntik semangat berterusan komuniti untuk kekal membudayakan persekitaran mampan,” katanya.



Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datin Paduka Noraini Roslan menyampaikan cek cura dan trofi kepada pemenang Pertandingan Kebersihan Premis Makanan (tidak berhawa dingin) ketika Majlis Anugerah Komuniti Mampan MPK 2023 di KSL Esplanade Hotel, Klang pada 20 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI


Sementara itu, johan pertandingan kebersihan premis makanan (kategori berhawa dingin) E Arulsiva, 46, menyambut baik usaha PBT terbabit kerana mengiktiraf komuniti yang menyokong program ke arah mencapai SDG.

Pemilik restoran Eesha Signature mengakui kemenangan itu hasil kerjasama lima pekerjanya yang sentiasa mengutamakan kebersihan ketika mengendalikan makanan termasuk premis.

“Saya sememangnya mementingkan kebersihan dengan memastikan pekerja sama ada rakyat tempatan atau warga asing mendapat suntikan tipoid, memakai topi dan pelitup muka.

“Sebelum ini saya dapati banyak restoran yang tidak ambil berat aspek ini. Sebagai pemilik restoran, saya tidak mahu buat kesilapan seperti restoran terbabit. Diharap kemenangan ini beri tauladan kepada restoran lain,” katanya.

Dia yang mengusahakan perniagaan itu sejak lebih setahun lalu memperoleh hadiah wang tunai RM1,500 dan plak.

Anugerah lain dipertanding antaranya tandas awam bersih, sudut atau ruang perpustakaan mini, inovasi reka cipta perabot daripada bahan kitar semula, barangan kitar semula, kitar semula dan ruang teknologi maklumat (ICT).



Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datin Paduka Noraini Roslan menyampaikan cek cura dan trofi kepada pemenang Pertandingan Kebersihan Premis Makanan (berhawa dingin) ketika Majlis Anugerah Komuniti Mampan MPK 2023 di KSL Esplanade Hotel, Klang pada 20 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI


 

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am