MENU

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datin Paduka Noraini Roslan berucap ketika Majlis Anugerah Komuniti Mampan MPK 2023 di KSL Esplanade Hotel, Klang pada 20 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

KLANG, 21 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) bercadang membangunkan 10,000 hektar tanah untuk kawasan industri bagi memenuhi permintaan tinggi pengusaha.

Yang Dipertuanya Datin Paduka Noraini Roslan berkata pendekatan itu juga bertujuan merancakkan ekonomi di daerah terbabit yang bakal mencapai status bandar raya.

Beliau menjelaskan pihaknya sudah membuat pindaan terhadap rancangan tempatan bagi merealisasikan hasrat itu dan sedang menunggu kelulusan pentadbiran negeri.

“Kita memang menerima banyak permohonan supaya menambah kawasan industri. Insya-Allah kita akan dapat 10,000 hektar lagi kawasan industri pada masa akan datang.

“Itu (penambahan kawasan industri) daripada segi (pembangunan) ekonominya. Kita mahu ekonomi di Klang terus mampan,” katanya ditemui selepas majlis Anugerah Komuniti Mampan MPK 2023 di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menggalakkan pengusaha kecil tidak berlesen memutihkan status mereka supaya mampu menikmati kemajuan ekonomi berterusan.

“Jika dia (pengusaha kecil) mahu eksport barang kena ada sijil daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dunia sekarang memerlukan pengiktirafan itu. Jadi saya sangat menggalakkan industri itu untuk ke depan,” katanya.


Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Datin Paduka Noraini Roslan menyampaikan cek cura dan trofi kepada pemenang Pertandingan Kebersihan Premis Makanan (berhawa dingin) ketika Majlis Anugerah Komuniti Mampan MPK 2023 di KSL Esplanade Hotel, Klang pada 20 Disember 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI


Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini  

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am