MENU

 

Anggota Jabatan Penguatkuasa dan Pelesenan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan pemeriksaan di kilang Lot 578, Jalan Merbau, Kampung Perepat, Kapar yang didakwa mengabaikan aspek kebersihan dan beroperasi lewat malam hingga mengganggu ketenteraman penduduk. Foto Unit Multimedia Jabatan Komunikasi Korporat MPK

KLANG, 17 DIS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memberi amaran tegas terhadap pemilik kilang di daerah itu supaya mematuhi syarat pelesenan berkait kebersihan premis termasuk pelepasan efluen dan waktu operasi demi menjamin ketenteraman orang awam.

Setiausahanya Zaireezal Ahmad Zainuddin berkata kegagalan mematuhi peraturan ditetapkan boleh dikompaun sehingga RM2,000 mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MPK) 2007.

Selain itu jika ingar, jelasnya pemilik boleh dikenakan tindakan mengikut UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah-Sarap (MPK) 2007 termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Berkaitan isu kilang yang dilesenkan, MPK akan memantau dan memastikan (pemilik) mematuhi syarat lesen dengan pemantauan serta semakan dijalankan dari semasa ke semasa melalui Jabatan Penguatkuasa dan Pelesenan.

“Kita juga mempunyai Pasukan Tindakan Segera (Skuad Pantas) yang akan turut serta membuat siasatan jika terdapat aduan. Kita mahu memastikan tiada kacau ganggu atau sebarang efluen dikeluarkan oleh kilang itu sendiri,” katanya.

Beliau ditemui pada program Footer Klang City Quarter Marathon sempena Hari Tanpa Kenderaan 2023 di pusat beli-belah Centro Mall di sini hari ini. Turut hadir Yang Dipertuanya Datin Paduka Noraini Roslan.

Zaireezal mengulas isu sebuah kilang di Lot 578, Jalan Merbau, Kampung Perepat yang didakwa mengabaikan aspek kebersihan selain beroperasi lewat malam hingga menimbulkan kacau ganggu bunyi bising di kawasan perumahan berhampiran.

Pada 13 Disember, pengarah komunikasi korporat MPK berkata pihaknya sudah memberi peringatan terhadap premis yang menjalankan aktiviti membuat, menyimpan, memborong, penghantaran bungkusan plastik dan resin plastik itu untuk mematuhi peraturan berkenaan.

Menurut Norfiza Mahfiz syarikat terbabit juga diarah melaksanakan pemantauan bunyi bising selain pemantauan air sekitar kawasan premis dengan melantik Eurofins NM Laboratory Sdn Bhd untuk membuat laporan ‘kawalan bunyi bising’ dan ‘pemantauan kualiti air’.


Anggota Jabatan Penguatkuasa dan Pelesenan Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjalankan pemeriksaan di kilang Lot 578, Jalan Merbau, Kampung Perepat, Kapar yang didakwa mengabaikan aspek kebersihan dan beroperasi lewat malam hingga mengganggu ketenteraman penduduk. Foto Unit Multimedia Jabatan Komunikasi Korporat MPK

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini  

 

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am