MENU

 

=alt"Naik taraf pasar, tandas awam tingkat imej Klang ke arah bandar raya"Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Noraini Roslan. Foto Facebook Majlis Perbandaran Klang (MPK)

SHAH ALAM, 24 OGOS: Naik taraf pasar dan tandas awam antara 21 projek bakal dilaksanakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi meningkatkan imej Klang yang akan bertaraf bandar raya tidak lama lagi.

Yang Dipertuanya Noraini Roslan berkata peruntukan untuk kesemua projek bernilai RM5 juta itu telah diluluskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan akan mula dijalankan tahun depan.

Menurut beliau projek-projek tersebut ialah menaik taraf Pasar Pelabuhan Klang yang dianggarkan menelan kos RM1 juta, menaik taraf Jalan Keretapi Lama (RM1 juta), menaik taraf laluan pejalan kaki dan basikal di Jambatan Kota (RM690,500).

“Turut akan dinaik taraf ialah taman permainan di Butterfly Park, baik pulih padang, gelanggang bola keranjang, peralatan riadah dan tempat letak kereta di Bukit Tinggi, Klang (RM396,460).

“Selain itu RM220,000 akan diperuntukan bagi membina tandas awam bertaraf BMW (bersih, menawan dan wangi) di Taman Awam Pengkalan Batu, menaik taraf 10 tandas awam di sekitar Bandar Klang (RM380,000) dan projek-projek kecil (RM1.3 juta),” katanya.

Kesemua projek tersebut antara yang diutarakan pada Sesi Penglibatan Awam Dalam Penyediaan Bajet 2024 MPK di KSL Esplanade Hotel, Klang Ahad lalu.

Tambah Noraini pihak KPKT dan MPK juga telah memohon kepada Jabatan Kerja Raya (JKR ) peruntukan khas bagi menaik taraf dan menyelenggara jalan-jalan di sekitar Klang melibatkan sejumlah RM24.6 juta.

Pada masa yang sama tambahnya Kerajaan Negeri turut berbesar hati memberi peruntukan khas sebanyak RM5 juta bagi menaik taraf bandar Klang.

 

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini  

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am