MENU

 

Pasukan penguatkuasa MPK memeriksa sebuah tapak sampah haram di Jalan Selat Selatan 20, Pandamaran, Klang pada 14 Oktober 2022. Foto MPK

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memperuntukkan RM230,000 bagi memasangkan lima kamera litar tertutup (CCTV) di seluruh daerah ini bagi memantau kegiatan pelupusan sampah haram.

Setiausahanya Elya Marini Darmin berkata salah satunya dipasang di kawasan tapak pelupusan sampah haram di Lengkuk Selat Selatan dan Jalan Selat Selatan 20, Pandamaran di sini.

“Pemerhatian dan pemantauan kawasan tanah ini mendapati terdapat aktiviti pembuangan sampah terdiri daripada sisa plastik, sampah pukal dan sampah kebun dan sisa bahan binaan selain terdapat jengkaut meratakan tanah serta sisa sampah di kawasan terbabit.

“Penyewa tanah menunjukan bukti bahawa tanah tersebut disewa daripada sebuah agensi kerajaan Persekutuan bermula pada 1 Mei 2015 hingga 30 April 2018. Bagaimanapun, tiada bukti perjanjian serta surat terkini pembaharuan yang dibuat kepada agensi itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada 14 Oktober lalu, Elya Marini bersama pasukan penguat kuasa MPK melakukan lawatan tapak pelupusan sampah haram tersebut.

Hadir sama Ahli Majlis MPK Athi Saravanan.

Elya Marini bersama pasukan penguat kuasa MPK memeriksa kawasan tapak pelupusan sampah haram di Lengkuk Selat Selatan dan Jalan Selat Selat Selatan 20, Pandamaran, Klang pada 14 Oktober 2022. Foto MPK

Elya Marini berkata tapak tersebut pada asalnya disewakan oleh agensi tersebut kepada sebuah syarikat untuk aktiviti penternakan haiwan seperti ikan, itik, kambing dan lembu.

Selain itu, katanya penyewa yang menjalankan aktiviti perniagaan kerja-kerja kejuruteraan di tapak tersebut turut dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 3 Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPK 2007 kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen.

Jelas beliau sepanjang tahun ini sebanyak empat tindakan sitaan telah dilakukan oleh pihak MPK di kawasan tersebut atas kesalahan membuang sampah secara haram membabitkan lori tiga tan jenis Hino pada 21 Februari lepas, lori Isuzu (25 Ogos), lori tiga tan Mitshubishi (8 September) dan lori Scania (26 September).

“Pihak majlis akan memanjangkan laporan ini kepada agensi terbabit untuk menyemak semula dan memantau syarat kelulusan dan guna tanah yang telah diberikan kepada penyewa.

“MPK juga mencadangkan agar agensi itu mengkaji semula tawaran penyewaan kepada pengusaha tersebut,” katanya sambil menambah aktiviti di tapak itu akan terus dipantau dari semasa ke semasa.

Sumber : Sumberkini
Sila klik pautan di sini

 

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am