MENU

PETALING JAYA: Penggunaan sistem bidaan tapak Pasar Borong Blok C, Pasar Besar Meru akan dilaksanakan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi mengelak monopoli tapak perniagaan oleh pihak tertentu.

Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata terdapat peniaga yang mempunyai lebih daripada satu tapak, maka sistem bidaan yang bakal diadakan akan menjadikan pemilikan lebih telus dan adil.

“Taklimat yang diadakan bertujuan menjelaskan beberapa tarikh penting dan tapak yang bakal dibida serta harga bidaan,” jelas Norfiza menerusi Facebook pada Selasa.

Dalam kenyataan sama, taklimat ini juga menerangkan cara pemindahan tapak, manfaat sistem bidaan berbanding sistem monopoli seperti yang sedia ada dan dapat mengawal peniaga yang menyewakan tapak kepada orang lain.

Norfiza menjelaskan, MPK melalui Jabatan Pengurusan Pasar Dan Penjaja sememangnya mempunyai perancangan untuk mewujudkan Pasar Besar Meru yang bersih, kondusif dan sistematik.

Terdahulu, tular video bantahan peniaga-peniaga Pasar Meru berhubung cadangan sistem bidaan oleh MPK di hadapan Bangunan MPK Cawangan Jalan Tengku Kelana di sini.

 

Sumber : SumberKini
Sila klik pautan di sini

 

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am