MENU

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 14 MEI: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) melancarkan Kempen ‘Kembali Kepada Al-Quran’ sempena Ramadan ini bagi menyebar luas fahaman dan penghayatan ajaran Islam sebenar.

Presidennya, Mohd Azmi Abd Hamid berkata, usaha itu dilaksanakan bagi bertujuan mengajak masyarakat awam untuk mendekati Al-Quran sebagai asas perpaduan hidup.

“Matlamat utama untuk menyebar kesedaran kefahaman dan penghayatan masyarakat Islam supaya berusaha dengan bersungguh untuk mengamalkan panduan Al-Quran dalam semua aspek kehidupan.

“Ramadan digelar sebagai bulan Al-Quran. Walaupun membaca Al-Quran dituntut sepanjang Ramadan, namun tujuan utama agar umat Islam membaca, memahami, menghayati dan mengamalkan isi kandungan Al-Quran.

“MAPIM berpendapat jika umat Islam mengamalkan Al-Quran sepenuhnya seperti generasi awal Islam dalam kalangan para sahabat Rasullullah S.A.W, maka pelbagai masalah dihadapi sekarang dapat diatasi dengan berkesan,” katanya.

MAPIM

Beliau berkata, kempen juga diadakan bagi meningkatkan usaha kesedaran masyarakat agar kembali menghayati kepada ajaran Islam.

“Tamadun Islam yang cemerlang hanya dapat dibangkitkan semula jika budaya mengamalkan Al-Quran dipupuk secara berkesan dalam masyarakat Islam.

“MAPIM melihat masalah umat Islam bermula bila mereka renggang dengan Al-Quran dan pedoman Al-Quran diketepikan.

“Al-Quran seolah-olah menjadi kitab yang tidak bermakna dalam kehidupan umat. Pengaruh dari budaya jahiliah moden menguasai umat Islam sehingga Al-Quran tidak menjadi rujukan,” katanya.

Antara pengisian kempen termasuklah penganjuran program pendidikan, pembudayaan Al-Quran, forum anak muda dan wacana media.

Turut diadakan, pelancaran buku Ma’rifatul Quran, Majlis Ta’Lim Al-Quran, syarahan perdanan dan banyak lagi.

Terdahulu, turut diadakan pelancaran kempen ‘Kembali Kepada Al-Quran’ diadakan di Kompleks PKNS, hari ini.

Dalam perkembangan sama, MAPIM turut menandatangani memorandum persefahaman bersama Wanita4You sebagai simbolik kerjasama kempen berkenaan.

 

Sumber: Selangorkini

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am