MENU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Rakyat Selangor akan mengecapi nikmat pembangunan yang melebar ke serata negeri menerusi Belanjawan Negeri 2017.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, hal itu bertepatan dengan konsep Selangor sebagai negeri pembangunan.

Baginda turut berkenan Dewan Negeri Selangor (DNS) meluluskan Belanjawan 2017 berjumlah RM3.45 bilion yang juga peruntukan terbesar pernah tercatat sebelum ini.

“Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengambil langkah bijak dan berani dengan meningkatkan peruntukan pembangunan kepada 52.2 peratus.

“Beta mengalu-alukan peningkatan peruntukan pembangunan dari tahun ke tahun. Peruntukan pembangunan pada tahun 2015 sebanyak RM1.13 bilion ditingkatkan kepada RM1.8 bilion, pada tahun 2017,” titah baginda di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke Lima Dewan Negeri Selangor yang ke 13, di Bangunan Dewan Negeri, di sini, hari ini.

Pada masa sama, baginda bertitah Unit Perancang Ekonomi Negeri bersama agensi pelaksana seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Agama Islam Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran dan semua pihak berkuasa tempatan perlu memikul tanggungjawab besar bagi memastikan projek pembangunan disiapkan mengikut jadual.

Titah baginda, ia bagi memastikan pembangunan terancang dapat membantu merancakkan aktiviti ekonomi Selangor.

 

Sumber: Selangorkini

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am