MENU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MAC: Penjawat awam diingatkan supaya mempertahankan integriti dan ketelusan bagi terus mengungguli pencapaian ekonomi dalam negara.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, walaupun berdepan cabaran getir ketika ini, Selangor perlu memastikan ekonomi negeri terus berkembang maju dan pesat.

“Ekonomi fundamental bukan sahaja persoalan ‘growth, trade, investment’ tetapi lebih penting adalah soal integriti, pengurusan, ketelusan dan institusi berwibawa.

“Kita mungkin negeri maju dan kaya tetapi rakyat akan menderita serta tidak dapat bertahan sekiranya kerajaan mengamalkan rasuah.

“Ini peringatan penting untuk kita semua,” katanya ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Selangor di Dewan Jubli Perak, di sini, hari ini.

CP2A1470-800x533

Mohamed Azmin berkata, pencapaian hebat Kerajaan Negeri ketika ini perlu dipertahankan dan angka yang dibentangkan boleh menjadi aspirasi untuk lebih berdaya saing bagi mengangkat martabat rakyat ke peringkat lebih tinggi.

“Saya yakin kecemerlangan Selangor boleh terus dipetahankan penjawat awam.

“Kejayaan tidak boleh berlaku jika eksekutif atau pentadbir bergelumang dengan rasuah. Mahu berjaya hari ini, esok dan akan datang, kita mesti pertahankan integriti dan amalan urus tadbir baik,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata, laporan dari Insititusi Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MEIR) mengesahkan Selangor menjadi negeri terpenting kepada Malaysia mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Prestasi ekonomi Malaysia dibantu Selangor dengan mendominasi sektor pembuatan dan pembinaan di negara ini.

 

Sumber: Selangorkini

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am