MENU

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 FEB: Van Mobile Library–Selangor B.E.ST (Bringing Excellence Into Society) merupakan antara manifestasi Kerajaan Negeri memperkukuh kualiti pendidikan dan latihan, sejajar tema ‘Membangun Smart Selangor Yang Peduli.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) juga sejak 2008 giat menaiktaraf dan membangunkan semula 45 perpustakaan awam dengan konsep ‘rebranding’ dan ‘makeover’.

Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan perpustakaan awam diurus tadbir PPAS sehingga kini, ialah sebanyak 102 perpustakaan.

“Sebelum Selangor B.E.S.T, PPAS juga mempunyai beberapa buah perpustakaan bergerak menggunakan pelbagai jenis kenderaan seperti treler, bas dan van.

BEST1

“Sejajar dengan perubahan teknologi, ia dipertingkatkan lagi bagi memastikan perkhidmatan berkualiti dan mesra, seterusnya sampai terus kepada rakyat,” katanya menerusi teks ucapan dibacakan Pengarah PPAS, Mastura Muhamad.

Mastura membacakannya di Majlis Taklimat Pelaksanaan dan Tandatangan Surat Ikatan Serah Hak Perpustakaan Bergerak Selangor B.E.S.T, di PPAS, di sini, hari ini.

Bakal beroperasi pada 1 Mac ini, Selangor B.E.S.T merupakan perkongsian pintar di antara Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi; Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar; Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor dan PPAS.

Terdapat empat Selangor B.E.S.T disediakan bagi menjelajah ke 1,346 skim pemajuan pangsapuri kos rendah melibatkan 220,086 unit dengan 1.1 juta penduduk.

Nik Nazmi berkata, selain empat unit berkenaan, Kerajaan Negeri turut menambah tiga lagi unit van bagi melakukan penjelajahan perkhidmatan ke seluruh negeri.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan perkhidmatan perpustakaan bergerak sebanyak tujuh unit.

“Selangor B.E.S.T dilengkapi pelbagai kemudahan untuk semua peringkat umur sama ada dari koleksi bahan yang ditawarkan, infrastruktur dan infostruktur,” katanya.

 

Sumber: Selangorkini

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am