MENU

SELAYANG, 24 JAN: Kerajaan Selangor mensasarkan sejuta rakyat bakal mendapat manfaat daripada Skim Peduli Sihat yang memberikan perlindungan asas bagi menampung kos sara hidup semasa bagi 2017.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga, Dr Daroyah Alwi berkata, jumlah itu dianggarkan daripada 250,000 keluarga yang termasuk dalam kumpulan B40 dan terdiri daripada empat orang ahli keluarga.

“Skim ini adalah skim perlindungan asas diperkenalkan Kerajaan Negeri bagi meringankan kos sara hidup untuk kumpulan B40, golongan berpendapatan RM1,500 hingga RM3,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Majlis Pelancaran dan Pendaftaran Skim Peduli Sihat di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak.

Menurutnya, Kerajaan Selangor memperuntukkan sejumlah RM125 juta untuk Skim Peduli Sihat seperti yang diumumkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2017.

Dibahagikan kepada dua kategori iaitu keluarga dan individu, syarat yang dikenakan juga mudah untuk rakyat menikmati skim ini.

“Kategori Keluarga, mereka layak menerima RM500 diperuntukkan dalam satu kad Peduli Sihat dengan syarat rakyat Selangor atau bermustautin di negeri ini selama 10 tahun dan berpendapatan dibawah RM3,000.

“Untuk individu mereka yang berumur 21 tahun ke atas layak menerima pembiayaan RM200 setahun.

“Syaratnya mestilah rakyat Selangor atau bermustautin selama 10 tahun, berpendapatan RM1,500,” katanya.

Selain itu, 1,000 klinik swasta bersama dalam program ini sebagai panel Skim Peduli Sihat.

Untuk peringkat awal, Kerajaan Negeri mensasarkan pendaftaran seramai 20,000 penyertaan daripada setiap DUN di Selangor.

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am