MENU

SABAK BERNAM, 25 JAN: Dua lagi pusat pemindahan diletakkan dalam keadaan siap sedia dan dibuka sekiranya wujud sebarang kebarangkalian peningkatan jumlah mangsa banjir.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pelbagai agensi kini juga diarahkan untuk bersiap sedia bertangungjawab memastikan kebajikan mangsa terjamin.

“Sehingga kini unit bencana dan pejabat tanah daerah Sabak Bernam sudah membuka tiga pusat pemindahan dan dua lagi diletakkan dalam keadaan bersiap sedia.

“Sekiranya keadaan semakin teruk, pusat pemindahan akan dibuka untuk menampung kapasti mangsa.

“Bagaimanapun, untuk tempoh ini, Alhamdulillah cuaca sudah semakin reda dan berharap agar cuaca lebih baik lagi,” katanya kepada SelangorKini.

IMG_20170125_142222_983

Beliau ditemui selepas hadir menyerahkan bantuan keperluan kepada 107 mangsa banjir di Dewan Kampung Parit Baru, di sini.

Dalam perkembangan tersebut, jumlah mangsa banjir di daerah Sabak Bernam dekat sini meningkat kepada 407 orang setakat jam 8 pagi ini berbanding 246 malam tadi.

Jurucakap Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata, sejumlah 163 mangsa daripada 46 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan Dewan Sri Bernam manakala 161 orang daripada 49 keluarga berada di Dewan Parit Baru.

Antara lokasi yang dinaiki air di daerah itu ialah Jalan Parit Cabang, Kampung Nelayan Sungai Besar, Sungai Nipah, Jalan Pantai Sekendi, Sekolah Menengah Parit Baru dan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS).

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am