MENU

SHAH ALAM, 18 JAN: Anugerah Sumber Manusia bakal dianjurkan buat julung kalinya pada tahun ini, umum Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Beliau berkata, ia bertujuan menanamkan prinsip penggunaan sumber manusia secara optimum, kreatif dan inovatif kepada semua jabatan.

Katanya, ia juga merupakan pengiktirafan buat jabatan yang menyahut gagasan Kerajaan Negeri dalam mewujudkan prinsip ‘Smart Governance’.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga menyediakan pusat latihan khas yang memberi fokus kepada latihan teknikal kepada pegawai dan kakitangan di 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Diharap sistem pengurusan latihan dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan berkesan dalam membentuk warga PBT yang lengkap serba-serbi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Bangunan Kerajaan Negeri (SUK) di sini, pada 16 Januari lalu.

Selain itu, Mohd Amin berkata, sistem tuntutan perubatan secara elektronik mula dilaksanakan pada pertengahan tahun ini, bagi memudahkan pesara kerajaan mendapatkan kemudahan perubatan.

“Kita juga melaksanakan penambaikan kemudahan buat 5,255 pegawai lantikan kontrak di semua jabatan pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri meliputi aspek kemudahan cuti rehat, cuti mengerjakan haji, cuti tanpa rekod bagi kematian ahli keluarga terdekat serta cuti isteri bersalin.

“Semua insentif ini bukti Kerajaan Negeri amat peduli kebajikan penjawat awam dan semoga semua dapat berkhidmat lebih baik kepada rakyat,” katanya.

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am