MENU

PUCHONG, 17 JAN: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) menyasarkan pembinaan 10,000 unit Rumah Selangorku pada tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Norzaton Aini Kassim berkata, sasaran ditetapkan itu diyakini mampu direalisasikan seperti mana sasaran terdahulu yang berjaya dicapai pihaknya.

“Tahun ini sasaran kita adalah menawarkan 10,000 unit Rumah Selangorku kepada pembeli dan sambutan terhadap prorgram ini adalah baik.

“Ia membanggakan kerana kita melepasi sasaran 15,000 dengan pembinaan 21,000 unit rumah pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Malam Apresiasi LPHS/ Pesuruhjaya Bangunan (COB) di sini, semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, beberapa kawasan telah dikenal pasti bati tujuan itu dan LPHS akan menggerakkannya secara berperingkat-peringkat.

Katanya, antaranya adalah di Sepang, Klang, Gombak, Hulu Langat dan Kuala Selangor.

“Pembinaannya adalah pelbagai tetapi kebanyakan adalah rumah pangsapuri,” katanya.

Rumah Selangorku ialah rumah mampu milik diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan tawaran harga antara RM42,000 hingga RM250,000.

Pada tahun ini juga, katanya, LPHS berusaha mengatasi masalah projek rumah terbengkalai di Selangor dengan memberi tumpuan terhadap lima projek.

“Kita mempunyai sejumlah 185 projek rumah terbengkalai dan telah berjaya menyelesaikan 20 peratus pada tahun sebelumnya dan ia memakan masa kerana masalah projek sebegini bukan mudah diatasi.

“Maka kita tetapkan lima projek untuk diselesaika tahun ini,” katanya.

Beliau menjelaskan LPHS juga memberi tumpuan terhadap projek perumahan berstatus sijil layak menduduki (CF) sementara dengan sasaran penyelesaian kira-kira 70 peratus tahun ini.

 

Sumber: Selangorkini.my

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am