MENU

SHAH ALAM, 9 JAN: Pelaksanaan Hari Tanpa Beg Plastik setiap hari bermula 1 Januari lalu mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat.

Rata-rata bersetuju kempen bebas plastik itu dilaksanakan sebagai langkah menyemai semangat sayangkan bumi.

Ia memberi impak kepada alam sekitar bukan sahaja untuk masa sekarang, malah untuk masa depan generasi akan datang.

Pengguna, Alissala Suwanmani berkata masyarakat perlu sedar pelaksanaan itu mampu menyelamatkan bumi dari dipenuhi sampah sarap.

“Penggunaan plastik di negara kita sangat membimbangkan kerana di setiap kawasan dipenuhi bahan buangan ini. Bagi menyokong kempen hijau, saya akan memastikan beg hijau sentiasa dibawa jika ke pasar raya,” katanya.

Bagi Fazy Sahir, pelaksanaan kempen itu merupakan tindakan wajar dilaksanakan.

Beliau turut mencadangkan kerajaan memperbanyakan kempen kesedaran sekali gus dapat mendidik masyarakat.

“Cuma caj RM0.20 untuk plastik itu dipersoalkan kerana pengguna sudah terbeban dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan,” katanya.

Pengguna, Knewrule Shahhimin berpendapat pasaraya mahupun kedai serbaneka perlu menjual beg kitar semula sebagai alternatif kepada beg plastik.

“Jika mahukan plastik kita diminta membayar caj RM0.20. Bagi saya lebih baik jika kita beli beg kitar semula,” katanya.

Sementara itu, Farhah Amir berkata lebih baik sekiranya pihak pasaraya menyediakan beg kertas sebagai alternatif kepada beg plastik secara percuma.

“Ia sebagai usaha mengelakkan penggunaan plastik dan unsur-unsur peniaga mendapat faedah melalui pembelian beg plastik tidak tercapai,” katanya.

Bagi Jiha Najiha, caj sebanyak RM0.20 patut dikenakan untuk semua beg plastik yang diminta bukan hanya satu plastik sahaja.

“Contohnya, di Pulau Pinang. Caj RM0.20 hanya sekali sahaja dikenakan. Ada juga pasaraya yang menyediakan kotak di hadapan kaunter untuk kegunaan pengguna,” katanya.

Bayaran 20 sen akan dikenakan terhadap penggunaan beg plastik bermula 1 Januari 2017 selaras dengan kempen ‘Hari Tanpa Beg Plastik’ di negeri ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, pada masa sama, kerajaan negeri turut mengharamkan penggunaan beg plastik.

Berdasarkan kaji selidik yang dibuat kerajaan negeri mendapati 71 peratus rakyat negeri ini merasakan kempen Bebas Beg Plastik pada Sabtu sahaja tidak memadai.

 

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am