MENU

KLANG, 2 JAN: Seiring moto dan visi penubuhan MPK Care, Majlis Perbadaran Klang (MPK) komited memastikan masyarakat di kawasan pentadbirannya terus dibantu dalam setiap aspek.

Terkini, MPK bersedia menawarkan kos perubatan percuma kepada 14 mangsa yang tercedera pada insiden letupan bunga api malam ambang tahun baharu di tapak Fiesta Gegar Klang Kompleks Sukan Pandamaran, Sabtu lalu.

Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi berkata, mangsa boleh mengemukakan sebarang kos rawatan susulan di klinik atau hospital kerajaan seluruh negeri.

“Sekiranya ada penambahan kos rawatan mangsa, MPK bersedia untuk tanggung sepenuhnya kos kecederaan terhadap rawatan susulan itu.

“Jika ada keperluan untuk mangsa membuat rawatan di klinik atau hospital kerajaan, saya mohon mangsa untuk kemukakan perkara ini kepada pihak majlis untuk tindakan selanjutnya.

percikan

“Kami komited untuk membantu mangsa dan bertangunggjawab sepenuhnya terhadap kebajikan mereka dengan memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di kediaman salah seorang mangsa, Muhammad Fareed Mohd Radzi, 17 di Jalan Pandamaran 91, Pelabuhan Klang hari ini.

Dalam kejadian Sabtu lalu, 14 mangsa dengan empat orangnya adalah kanak-kanak dilaporkan cedera dan melecur selepas bunga api yang digunakan untuk pertunjukan sambutan malam tahun baharu meletup sebelum sempat ke udara.

Susulan kejadian tersebut, Adi Faizal berkata jawatankuasa khas juga telah ditubuhkan MPK bagi menyiasat sepenuhnya kes berkenaan.

“Jawatankuasa khas ini ditubuhkan untuk menjalankan kajian dan siasatan sepenuhnya berpandukan laporan penuh yang dikeluarkan dalam masa terdekat nanti,” katanya.

=EZY=

Sumber : https://selangorkini.my/2017/01/mpk-peduli-nasib-mangsa-insiden-bunga-api-tawar-kos-perubatan-percuma/

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am