MENU

KLANG, 7 SEPT: Konsep ‘Reka Bentuk Bandar Selamat’ yang diterapkan Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam perancangan pembangunan diharap mampu mengurangkan statistik jenayah di daerah itu.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, penerapan elemen bandar selamat boleh dilakukan melalui pencegahan awal seperti pelaksanaan buku garis panduan yang dikeluarkan.

Katanya, selain Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak perunding dan pemaju turut bertanggungjawab memasukkan aspek pencegahan jenayah di peringkat reka bentuk perbandaran juga lokasi yang akan dibangunkan kelak.

“Program Bandar Selamat sudah bermula dari 2004, namun faktor pelaksanaan kurang berkesan dan kebimbangan orang ramai masih tinggi menyebabkan MPK mengorak langkah menyemak juga melaksanakannya dengan lebih berkesan.

“Kita berharap statistik jenayah di Klang akan dapat dikurangkan melalui pencegahan awam yang juga elemen utama dalam konsep dilaksanakan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Sesi ‘Teach In’ Senario Bandar Selamat di Hotel Premiere, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Shuhaimi berkata, komponen pembangunan mampan yang dibangunkan menjadi asas kepada hasrat Kerajaan Negeri sejak 2008.

Katanya, ia bagi memastikan kemajuan masa kini boleh dinikmati generasi akan datang.

“Lazimnya, konsep ini dikaitkan dengan pembangunan seimbang. Ekonomi tumbuh segar bagi membina kejayaan, kekayaan digunakan untuk membangunkan jati diri masyarakat serta alam sekitar yang masih segar perlu dijaga,” katanya.

-AA-

 

Sumber : https://selangorkini.my/2016/09/elemen-bandar-selamat-bantu-kurang-jenayah-di-klang/

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am