MENU

KLANG, 7 SEPT: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengekang dan memberi penekanan lebih dalam kes membabitkan denggi dan zika tanpa membuatkan masyarakat panik.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei berkata, selain kawalan dan pencegahan, PBT harus mengadakan kempen dengan lebih berkesan kepada masyarakat sekitar bahaya wabak itu.

 

 

 

Katanya, banyak kes berlaku tanpa sedar membabitkan kawasan luar dan dalam rumah penduduk sendiri.

“Mereka tidak sedar, aedes membiak dalam rumah mereka sendiri melalui akuarium, pasu hiasan dan sebagainya.

“Jadi perebakan itu lebih berisiko. Oleh itu, PBT perlu memberi penekanan tanpa membuatkan masyarakat panik,” katanya di sidang media, di Hotel Premiere, di sini.

Shuhaimi berkata, gerakan gotong royong secara besar-besaran perlu dilakukan penduduk dengan kerjasama PBT bagi mengekang kes ini dari berlarutan.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Adi Faizal Ahmad Tarmizi mengesahkan banyak jentik-jentik ditemui dalam rumah penduduk melalui pemeriksaan dilakukan MPK.

“Mereka ini diberikan notis bagi pertama kali dan dikompaun bagi kes dua dan seterusnya,” katanya.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan mengesahkan seorang wanita dari Bandar Botanik, Klang yang dikenal pasti dijangkiti virus Zika selepas pulang dari melawat anaknya di Singapura menjadi kes pertama wabak itu di Malaysia.

Wanita berkenaan berada di Singapura selama tiga hari bermula 19 Ogos lalu bagi melawat anak perempuannya yang disahkan dijangkiti Zika di Singapura.

Selepas pulang dari negara berkenaan, wanita berusia 58 tahun itu mengalami beberapa gejala Zika seperti demam serta ruam di beberapa anggota badan dan mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 30 Ogos lalu.

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am