MENU

SHAH ALAM, 2 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil langkah proaktif dalam usaha memerangi denggi sekali gus mengawal penularan virus Zika di kawasan pentadbirannya.

Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Azmi Muji berkata, pihaknya mula menjalankan pemeriksaan dan pembersihan tempat pembiakan virus di rumah pesakit Zika juga sekitar kediaman pesakit.

“Bermula hari ini, MPK akan bergerak aktif menjalankan pencegahan penyebaran Zika di rumah pesakit virus terbabit di Bandar Botanic.

“Antara kerja dilakukan adalah memusnahkan tempat pembiakan virus dan pengasapan di sekitar kediaman pesakit,” katanya kepada SelangorKini.

Azmi berkata, langkah pencegahan dan kawalan virus terbabit adalah sama dengan penyakit demam denggi.

photo 2(1)

“Pencegahan pemusnahan tempat pembiakan dijalankan di kawasan rumah pesakit pada sebelah pagi oleh Pejabat Kesihatan Klang, manakala kerja pengasapan dilakukan pada sebelah petang.

“MPK akan mempertingkatkan aktiviti pencegahan di seluruh kawasan Klang dari masa ke masa,” katanya.

Pada masa sama, MPK turut meminta orang ramai membantu menangani zika dengan memastikan tidak berlaku pembiakan nyamuk itu di kawasan kediaman mereka.

Kementerian Kesihatan minggu lalu mengesahkan seorang wanita berusia 58 tahun yang tinggal di Bandar Botanic, Klang, Selangor adalah kes pertama jangkitan virus Zika di negara ini.

-AA-

 

Sumber : https://selangorkini.my/2016/09/mpk-proaktif-kawal-penularan-virus-zika/

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am