MENU

SHAH ALAM, 2 SEPT: Kerja pembersihan di beberapa tapak pelupusan haram yang diterjah baru-baru ini akan dilakukan dengan segera.

Pemangku Pengurus Besar Hebat Abadi Sdn Bhd, Muzafar Mohamed berkata, pihaknya menerima arahan menyegerakan tindakan pembersihan kerana dua daripada tapak terbabit milik kerajaan.

 

Katanya, pihaknya akan menghantar kertas kerja kepada Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) bagi tindakan selanjutnya.

“Sebanyak empat tapak pelupusan haram kita terjah baru-baru ini. Dua daripada milik persendirian dan dua lagi milik kerajaan.

“Kita diarahkan Kerajaan Negeri untuk membersihkan kawasan itu dengan segera,” katanya kepada SelangorKini.

Tapak pertama diterjah terletak di Taman Bukit Serdang Seksyen 5 mebabitkan sisa binaan dan industri yang turut menyebabkan gas bawah tanah terbakar.

Tapak kedua pula terletak di Taman Mas, Sepang yang juga melibatkan pembuangan sampah binaan dan industri di sepanjang empat kilometer (KM) rizab sungai milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

SAMPAH HARAM

Sementara itu, dua lagi tapak terletak di Taman Putra Prima, Puchong di mana satu tapak sebahagiannya dimiliki kerajaan dan sebahagian lagi merupakan milik persendirian yang dilonggokkan sampah bercampur.

Muzafar berkata empat kawasan itu membabitkan lebih 70,000 tan sampah.

“Lokasi ke empat itu dipercayai beroperasi selama enam tahun berdasarkan temubual dengan seorang wanita yang merupakan penjaga di kawasan terbabit,” katanya.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah berkata Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan merampas tanah persendirian yang disalah guna.

Terdahulu, beliau melakukan terjahan mengejut ke empat tapak pelupusan sampah haram di sekitar kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Selain MPSJ, operasi turut disertai wakil Unit Perancang Ekonomi Selangor (UPEN) dan KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM).

 

Sumber : https://selangorkini.my/2016/09/kerja-bersih-port-sampah-haram-dilakukan-segera/

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am