MENU

SHAH ALAM, 6 OGOS: Sesuai dengan kedudukannya yang strategik, Majlis Perbandaran Klang (MPK) diisytiharkan sebagai pihak berkuasa tempatan bagi lokasi paling menjadi pilihan bagi pelabur di Selangor.

Kejayaan itu diumumkan pada majlis ‘Invest Selangor Gala Dinner 2016 yang diadakan Setia City Convention Centre di Setia Alam di sini, malam tadi.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali itu turut meletakkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di tempat kedua dan diikuti Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di tempat ketiga.

Anugerah itu diterima oleh Yang Dipertua (YDP) MPK, Datuk Mohamad Yasid Bidin; Datuk Bandar MBSA, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad dan YDP MPS, Suliman Abd Rahman.

Sementara itu pada majlis sama, UMW Holding Berhad pula dipilih untuk memenangi anugerah khas bagi kategori pelaburan paling menyerlah di Selangor.

Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Selangor, Hassan Azhari menjelaskan anugerah ini merupakan insentif tambahan yang diberikan Kerajaan Negeri bagi merangsang pelaburan di negeri termaju itu.

“Invest Selangor berharap dapat meneruskan hubungan kerja yang baik dengan semua agensi kerajaan dan rakan perniagaan.

“Ia untuk mengekalkan ruang persekitaran perniagaan kondusif bagi pelabur dan industri,” katanya.

OLEH NAZLI IBRAHIM

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am