Hari Klang Tanpa Kenderaan Bulan Februari 2023.
26hb Feb- Hari Klang Tanpa Kenderaan hari ini merupakan permulaan program hari Tanpa Kenderaan bagi tahun 2023 dan akan diteruskan pada bulan-bulan berikutnya seperti mana yang telah dilaksanakan pada tahun lepas.
Program hari Klang Tanpa Kenderaan pada hari ini juga anjuran bersama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan mengetengahkan tema ‘Klang Sihat dan Sejahtera, Ke arah Bandar raya Idaman'. Klang memiliki pelbagai keistimewaan yang berpotensi untuk menjadi bandaraya.
Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah mewarisi 133 tahun pengalaman dalam urus tadbir bandar semenjak penubuhan Lembaga Kesihatan Klang (Klang Sanitary Board).
YDP MPK, TPr. Hjh. Noraini Roslan memaklumkan bahawa Klang kini sedang menuju ke arah Bandar raya yang majlis sasarkan pada 23 November 2023. Gagasan Klang Sihat Dan Sejahtera, Ke Arah Bandar raya Idaman melambangkan semangat dan jiwa baru MPK ke arah mencapai misi bandaraya pada tahun ini.
Pada tahun ini (keutamaan atau ‘priority’) Majlis kini ialah menuju Bandaraya Idaman. Perkhidmatan asas seperti kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam, penyelenggaraan Infrastruktur, pengindahan lanskap dan penguatkuasaan
undang-undang perlu dipertingkatkan dari masa ke semasa.
Yakin Klang boleh menjadi sebagai satu bandar moden serta mampan yang serba lengkap seterusnya menjadi nadi pembangunan kepada Selangor dan Malaysia, malah ia boleh menjadi contoh dan model bandar yang sejahtera untuk didiami, bekerja, belajar dan untuk beriadah pada tahap global.
Marilah warga Klang, bersama-sama dengan pihak MPK dalam merealisasikan Klang sebagai Bandar raya yang sejahtera, bersih dan aman.
Pada hari ini juga turut diadakan aktiviti ‘Fun Walk’ bagi memupuk gaya hidup sihat yang membawa manfaat dari aspek kesihatan dan perpaduan serta menyemai budaya hidup aktif melalui aktiviti berjalan kaki. Warga Pangsapuri Bandar Baru Klang, Cempaka, Mawar dan Dahlia turut meraikan program hari Ini.
Di samping itu, pelbagai aktiviti lain turut diadakan seperti pemeriksaan kesihatan, pameran denggi, pertandingan Merekabentuk Bangunan Warisan Klang menggunakan bahan kitar semula, pertandingan Melukis Poster Plastik Sifar, pertandingan Melakar Kolaj (tampalan) bertemakan Bangunan Warisan Klang menggunakan bahan Plastik Terpakai dan pertandingan kumpul Zero Waste Selfie.
YDP MPK merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Pejabat Kesihatan Daerah Klang yang sudi menjadi penganjur bersama bagi program Hari Klang Tanpa Kenderaan pada kali ini juga kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan bagi menjayakan program Hari Klang Tanpa Kenderaan Peringkat Daerah Klang tahun 2023 pada hari ini. Antaranya pihak Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Ibu Pejabat Polis Klang Selatan dan Balai Polis Trafik Klang Selatan, pihak KPJ Klang, Jabatan Penerangan, Jabatan Perpaduan dan pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan program Hari Klang Tanpa Kenderaan pada hari ini.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada tuan / puan yang hadir di atas sokongan yang diberikan pada program Hari Klang Tanpa Kenderaan.