MENU

 


Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
 

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan hasrat sudah sampai waktunya untuk Klang dinaik taraf menjadi Bandar Raya Diraja.

Baginda bertitah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) perlu berusaha merealisasikan Klang sebagai bandar raya yang bersih dan memiliki daya tarikan warisan bersejarah.

Baginda berharap MPK akan terus mempromosikan industri pelancongan di lokasi-lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Klang sekaligus mampu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk di daerah ini.
 
Baginda juga mahu MPK terus mempertingkatkan usaha untuk memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terbaik kepada masyarakat dan memastikan warga Bandar Diraja hidup dalam keadaan harmoni dengan persekitaran yang selamat untuk dihuni. 
 
Baginda berharap agar warga Klang sentiasa bekerjasama dengan MPK dalam menjaga kebersihan khususnya Sungai Klang serta menghargai Bandar Diraja, selaras dengan slogan Klang Sihat dan Sejahtera.

 

Baginda turut mendoakan semoga Klang selaku Bandar Diraja Selangor akan terus kekal makmur, harmoni serta sejahtera.

Dalam pada itu, Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan ucapan tahniah kepada MPK bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-132 MPK. 
 
Baginda menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana MPK telah berjaya menyelusuri pelbagai fasa kejayaan dan cabaran, sejak zaman penjajahan, kemelesetan ekonomi, perang dunia, darurat, kemerdekaan, pandemik sehinggalah hari ini yang telah mematangkan gerak kerja dan pentadbirannya sehingga Klang menikmati pertumbuhan yang pesat.
 
Namun di sebalik pembangunan ini, Baginda berharap MPK tidak alpa dengan status Klang sebagai Bandar Diraja dan tidak mengabaikan aspek sejarah dan warisan Klang.

 

Sumber : UtusanTV 
Sila klik pautan di sini

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am