MENU

PETALING JAYA: Sultan Selangor bertitah bahawa sudah sampai waktunya Klang dinaik taraf menjadi Bandar Raya Diraja dengan tidak mengabaikan aspek sejarah dan warisan daerah tersebut.

Sultan Sharafuddin Idris Shah AlHaj dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menyatakan perkara itu dalam perutusan dengan menzahirkan ucapan tahniah sempena sambutan ulang tahun ke-132 Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Selangor Royal Office dalam kenyataan berkata Sultan Selangor mahu MPK berusaha merealisasikan Klang sebagai bandar raya yang bersih, dan memiliki daya tarikan warisan bersejarah.

“Baginda menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana MPK telah berjaya menyelusuri pelbagai fasa kejayaan dan cabaran, sejak zaman penjajahan, kemelesetan ekonomi, perang dunia, darurat, kemerdekaan, pandemik sehinggalah hari ini yang telah mematangkan gerak kerja dan pentadbirannya sehingga Klang menikmati pertumbuhan yang pesat.

“Namun di sebalik pembangunan ini, baginda berharap MPK tidak alpa dengan status Klang sebagai Bandar Diraja dan tidak mengabaikan aspek sejarah dan warisan Klang,” kata kenyataan itu pada Isnin.

Sultan Selangor berharap MPK akan terus mempromosikan industri pelancongan di lokasi-lokasi menarik dan bersejarah di sekitar Klang sekali gus mampu menjana ekonomi dan pendapatan penduduk di daerah ini.

Baginda juga mahu MPK terus mempertingkatkan usaha memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terbaik kepada masyarakat dan memastikan warga Bandar Diraja hidup dalam keadaan harmoni dengan persekitaran yang selamat untuk dihuni.

“Baginda berharap agar warga Klang sentiasa bekerjasama dengan MPK dalam menjaga kebersihan khususnya Sungai Klang serta menghargai Bandar Diraja, selaras dengan slogan Klang Sihat dan Sejahtera.

“Baginda turut mendoakan semoga Klang selaku Bandar Diraja Selangor akan terus kekal makmur, harmoni serta sejahtera,” kata kenyataan itu.

Sumber : SumberKini 
Sila klik pautan di sini

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am