MENU

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyertai Kayuhan Menjunjung Kasih bersama 938 peserta di Sime Darby Property, Bukit Raja Site Gallery, Klang pada 19 Mac 2023. Majlis pelepasan disempurnakan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

KLANG, 19 MAC: Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli menyertai Kayuhan Menjunjung Kasih 2022 sejauh 50 km hari ini.

Baginda memulakan kayuhan bersama 938 peserta sekitar jam 8.20 pagi di Galeri Jualan Sime Darby, Bandar Bukit Raja, di sini.

Acara kayuhan edisi ketiga yang merentasi banyak kawasan bersejarah sekitar bandar diraja itu disempurnakan Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau.


 


Penyelaras Teknikal Kayuhan Menjunjung Kasih 2022 Firdaus Arshad. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI


Penyelaras Teknikal Firdaus Arshad berkata program dwitahunan anjuran Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama Sime Darby Property bagi memupuk gaya hidup sihat selain mempromosi kawasan menarik dan bersejarah di Klang.

“Jarak kayuhan sejauh 50 km adalah simbolik sambutan 50 tahun Sime Darby Property. Kayuhan edisi kali ini lebih jauh berbanding 38 km ketika edisi kedua pada 2019.

“Sepanjang kayuhan ini ada beberapa hentian termasuk di ikon Bandar Klang iaitu Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, pusat sukan di Pandamaran dan persimpangan Bandar Bukit Raja,” katanya.

Sebelum ini, Yang Dipertua MPK Noraini Roslan berkata Kayuhan Menjunjung Kasih edisi ketiga akan melalui lebih banyak kawasan berbanding edisi sebelumnya antaranya Jambatan Raja Muda Nala dan Jambatan Kota selain melihat keunikan bangunan warisan di sekitar Klang.


 


Peserta mengambil peluang berswafoto bersama Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tengku Amir Shah sempena Kayuhan Menjunjung Kasih di Sime Darby Property, Bukit Raja Site Gallery, Klang pada 19 Mac 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

 

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am