MENU

SHAH ALAM, 10 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menubuhkan Pasukan Tindakan Segera (Skuad Pantas) bagi menyalurkan laporan awal berkenaan situasi banjir kepada pasukan keselamatan.

MPK dalam kenyataan berkata, pasukan itu akan bersedia 24 jam bagi menghadapi bencana banjir dan akan bertindak sebagai pasukan bantuan awal jika berlaku kecemasan.

“MPK sentiasa bersedia mewujudkan pos gerakan sementara di kawasan yang mengalami bencana banjir bagi membantu mangsa daripada segi keselamatan dan logistik.

“MPK juga giat melaksanakan kerja pembersihan parit membabitkan lapan kawasan di daerah itu sebagai persediaan menghadapi bencana banjir termasuk mengorek dan mengeluarkan sampah,” katanya.

Pada masa sama, katanya, jabatan penguatkuasa sentiasa memantau kawasan yang sering menghadapi bencana banjir melalui 76 lokasi Kamera Litar Tertutup (CCTV) oleh Unit CCTV MPK.

banjir12

Selain itu, katanya, Bomba dan Penyelamat Selangor mengarahkan semua balai bomba di negeri itu memastikan aset ops banjir berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan selain membuat rondaan juga pemantauan di kawasan dikenal pasti berlaku banjir.

“Jika berlaku banjir, semua dewan serba guna milik MPK akan dijadikan pusat pemindahan mangsa dan sehingga kini kita memiliki 24 dewan yang boleh dijadikan pusat pemindahan,” katanya.

Sehingga kini, 414 pusat pemindahan banjir seluruh negeri dibuka secara 24 jam bagi menempatkan mangsa fenomena air pasang besar di kawasan terlibat.

Sebelum ini, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam kenyataannya mengesahkan fenomena air pasang besar kali kedua bakal berlaku 16 hingga 21 Oktober ini.

Antara kawasan terlibat adalah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

-AA-

Sumber : https://selangorkini.my/2016/10/mpk-tubuh-skuad-pantas-siap-sedia-hadapi-banjir/

 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am