MENU

 

Lori Roll On Roll Off (RORO) Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengambil sisa pukal dari kawasan perumahan penduduk di Taman Chaah Baru, Labis, Johor sempena Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa dua pada 10 Mac 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

LABIS, 10 MAC: Misi Bantuan Kita Selangor Penyayang fasa dua berakhir dengan jayanya apabila sejumlah 1,084 tan sampah pukal dikeluarkan dari 13 lokasi terjejas banjir sekitar Pekan Chaah di sini.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata sebanyak 765 tan daripada jumlah itu dibersihkan semalam manakala selebihnya hari ini dengan keseluruhan 316 pusingan kutipan.

“Alhamdulillah, operasi pembersihan berjalan lancar sepanjang tiga hari ini. Dengan kekuatan dimiliki, kita berupaya membersihkan lebih 1,000 tan sampah pukal dari kawasan penempatan penduduk.

“Saya menghargai kerja keras semua anggota yang terlibat dalam misi kali ini. Misi kita untuk membawa keluar sebanyak mungkin sisa pukal daripada kawasan terjejas tercapai,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Muhammad Hanafi Ahmad berkata operasi hari terakhir bermula jam 9 pagi hingga 3 petang membabitkan 311 anggota.

“Selaku penyelaras misi bantuan, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua petugas yang menunjukkan komitmen terbaik dalam menjayakan operasi pembersihan di Johor,” katanya.

Berikut perincian kutipan sisa pukal mengikut agensi:

1. Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS)
– Taman Chaah 1 dan 2 (130 tan dan 26 pusingan)

2. KDEBWM
– Taman Jaya 2, Taman Nesa, Taman Muhibah dan Taman Chaah (70 tan dan 35 pusingan)

3. Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)
– Taman Damai Jaya 1 dan Taman Sentosa (50 tan dan 10 pusingan)

4. Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK)
– Taman Chaah 1 dan 2 (40 tan dan 20 pusingan)

5. Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS)
– Taman Chaah Baru Fasa 2 (16 tan dan empat pusingan)

6. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Team Selangor
– Masjid Chaah (10 tan dan dua pusingan)

7. Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS)
– Jalan Yong Peng, Taman Damai Jaya 2 (tiga tan dan satu pusingan)

8. Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ)
– Pembersihan umum

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am