MENU

 

alt="kuil"
Penyerahan surat bantahan kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) daripada penduduk kampung di sekeliling kawasan tanah kuil tersebut.

KLANG: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menegaskan mereka tidak pernah beri kelulusan kepada kuil tanpa izin di Batu 7, Jalan Langat, di sini.

Kata Pengarah Komunikasi Korporat MPK, Norfiza Mahfiz berkata tanah tapak tersebut khusus bagi kegunaan institusi dan kemudahan masyarakat dengan diwartakan pada 28 April 2016 bagi tujuan kuil berdasarkan Rancangan Tempatan Majlis Perbandaran Klang 2035

Namun, syarat menetapkan bahawa pembinaan hendaklah mempunyai kawalan dan diselenggara oleh sebuah persatuan agama.

“Selain daripada itu, permohonan juga menimbulkan keraguan memandangkan pembinaan bangunan kuil tidak berada di tapak yang tepat berdasarkan tiada perimeter jalan dan perparitan di lokasi yang dikhususkan untuk bangunan kuil,” jelasnya pada Khamis.

Mengulas lanjut, Norfiza menambah, setelah beberapa kali perbincangan dibuat bersama pemaju dan pihak kuil, dibentangkan semula di Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat pada 9 September 2020.

Bagaimanapun, MPK memutuskan untuk menolak permohonan tersebut setelah mengambil kira beberapa faktor antaranya tiada kemudahan infrastruktur seperti jalan dan perparitan yang sempurna dari jalan utama ke tapak berkenaan mengikut spesifikasi Jabatan Kejuruteraan.

“Majlis membuat keputusan untuk menangguhkan projek-projek baru pemaju utama (Tetuan KSL Development Sdn. Bhd) yang belum mempunyai Kebenaran Merancang pendirian bangunan kecuali projek Rumah Selangorku dan kedai mampu milik sehingga pemaju menyelesaikan isu infra dengan Jabatan Kejuruteraan,” ujarnya lagi.

Tambah Norfiza, selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat, MPK menerima 2,258 bantahan daripada penduduk Kampung Sijangkang, Kampung Medan, Kampung Kebun Bharu Batu 9 yang menganggap pembinaan kuil itu tidak sesuai.

Perkara ini rentetan kampung berhampiran tanah tersebut majoritinya didiami oleh orang Melayu manakala pembinaan kuil tersebut akan menimbulkan pelbagai masalah kerana akan menggunakan laluan Batu 7 Sempadan sebagai laluan utama.

Sehubungan itu, Norfiza menjelaskan, notis peringatan memberhentikan aktiviti dikeluarkan pada 28 Februari kepada persatuan agama berkenaan.

“Majlis juga bakal mengadakan Mesyuarat Pendengaran Awam pada 24 Mac ini bagi mendengar alasan bantahan kedua- dua pihak dan dalam masa yang sama perkara ini akan di bawa ke Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam (LIMAS) untuk keputusan terkini isu berkenaan,” jelasnya lagi dalam kenyataan yang sama.

Sumber : SumberKini
Sila klik pautan di sini 

Kemaskini Terakhir: Khamis, 21 March 2024 - 11:56am