MENU

alt="20 tahun tanpa JMB"AMRAN Abdullah Hadi. FOTO Ruwaida Md Zain

Klang: Aduan demi aduan berhubung bumbung rosak sehingga berlaku 'banjir' dari atas, lantai rumah digenangi air, dinding lembap berkulat setiap kali hujan di Blok 1 hingga Blok 4 Flat Sri Sementa, Kapar di sini membawa kepada penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) flat berkenaan selepas kira-kira 20 tahun tanpa JMB.

Pengarah Jabatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) Majlis Perbandaran Klang, Amran Abdullah Hadi berkata, sebaik menerima beberapa aduan mengenai masalah penduduk di flat itu, pihaknya turun padang melawat dan bertemu penduduk berkenaan.

Menurutnya, dalam pertemuan yang diadakan itu, siasatan dan semakan mendapati flat berkenaan tidak pernah menubuhkan JMB, tiada yuran penyelenggaraan selain tiada jawatankuasa penduduk.

"Kalau kawasan perumahan berstrata ini, penghuni mesti sepakat menubuhkan JMB atau Perbadanan Pengurusan (MC) selaras dengan Akta Pengurusan Strata (Akta 757), tetapi sudah lebih 20 tahun, tidak ada ditubuhkan sama ada JMB atau MC.

"Sepatutnya perumahan kawasan berstrata seperti ini kena bayar yuran penyelenggaraan, jadi apabila tidak ditubuhkan JMB atau MC ini menyukarkan kerja baik pulih serta penyelenggaraan termasuk membaiki bumbung, mengecat dinding bangunan serta pungutan sampah.

"Lebih merumitkan lagi masalah yang dihadapi penduduk di flat ini kerana siasatan mendapati, ini adalah projek syarikat pemaju swasta, tetapi sehingga kini pemaju tidak dapat dikesan, tidak dapat dipastikan sama ada sudah gulung tikar atau masih ada," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke flat berkenaan, baru-baru ini.

Semalam Harian Metro melaporkan keluhan penduduk penduduk Blok 1 hingga Blok 4 Flat Sri Sementa, di sini, yang terpaksa berdepan situasi rumah berbau hapak berkepam, dinding serta siling rumah berkulat dan berlumut, malah aliran elektrik turut dapat dirasai akibat serapan air dalam dinding.

Masalah itu sudah dihadapi penduduk yang kebanyakan golongan B40 serta asnaf sejak dua tahun lalu.

Mereka terpaksa mengeluarkan kos sendiri sehingga mencecah ribuan ringgit memandangkan pemaju perumahan menghilangkan diri sehingga kini.

Amran berkata, selepas menerima aduan, pihak MPK sudah mengadakan hampir tujuh kali pertemuan bersama penduduk dengan pelbagai program seperti taklimat kepentingan JMB, dialog dengan penduduk dan gotong-royong.

"Alhamdulillah, akhirnya pada bulan lalu (Mac), MPK berjaya membantu penduduk menubuhkan JMB untuk empat blok di sini selepas kira-kira 20 tahun tanpa JMB.

"Kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) memang ada insentif di bawah Skim Ceria untuk pembaikan bumbung dan juga mengecat dengan syarat perumahan berstrata mesti ditubuhkan JMB.

"Jadi apabila flat ini sudah memenuhi syarat (penubuhan JMB) dan COB, MPK membantu membawa perkara ini kepada LPHS untuk diproses permohonan dan pertimbangan segera sebab keadaan bumbung yang kritikal dan memberi banyak kesan buruk kepada penduduk," katanya.

Sumber : Harian Metro
Sila klik pautan di sini 

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am