MENU

 

YAM Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin membeli juadah berbuka puasa menggunakan mangkuk tingkat ketika mengunjungi gerai jualan pada majlis pelancaran bazar Ramadan anjuran MPK dan SMG di Taman Awam Pengkalan Batu, Klang pada 23 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

KLANG, 23 MAC: Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB), pelaksana Projek Selangor Maritime Gateway (SMG) dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) menganjurkan bazar Ramadan berkonsepkan bebas beg plastik di Taman Awam Pangkalan Batu, Klang.

Berhadapan Sungai Klang, bazar yang mempunyai 33 peniaga itu turut dikunjungi Yang Amat Mulia Tengku Datin Paduka Setia Zatashah dengan diiringi Pengarah Urusan LLSB, Syaiful Azmen Nordin dan Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Norita Mohd Sidek.

Anakanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj meluangkan masa lebih 30 minit beramah mesra dengan peniaga dan turut membeli juadah berbuka seperti murtabak, kuih tepung pelita dan air.



YAM Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin (dua, kiri) bergambar bersama dihadapan papan tanda #Palstiktakonz sambil menunjukkan mangkuk tingkat ketika majlis pelancaran bazar Ramadan anjuran MPK dan SMG di Taman Awam Pengkalan Batu, Klang pada 23 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI


Ditemui selepas mengadakan lawatan, Tengku Zatashah yang juga pengasas #sayno2plastic bertitah orang ramai membawa mangkuk tingkat dan bekas minuman sendiri ketika membeli juadah di bazar Ramadan.

“Semua perlu bawa bekas makanan dan minuman sendiri, tidak gunakan beg plastik. Kempen bebas beg plastik ini seharusnya disokong semua pihak dalam melestarikan alam sekitar.

“Konsep bazar Ramadan di Klang ini baharu khususnya di Selangor dan ia amat bagus. Katakan tidak pada beg plastik,” titahnya.



YAM Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin melawat gerai jualan pada majlis pelancaran bazar Ramadan anjuran MPK dan SMG di Taman Awam Pengkalan Batu, Klang pada 23 Mac 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI


Sementara itu, Syaiful Azmen berkata pihaknya mengambil inisiatif menganjurkan bazar Ramadan dengan konsep itu bagi meningkatkan kesedaran mengenai pengurangan penggunaan beg plastik.

“Ini kali pertama kita adakan bazar Ramadan berkonsep bebas beg plastik sebab berkait rapat dengan aktiviti pembersihan di Sungai Klang.

“Sejak 2016 sehingga kini 85,000 tan metrik sampah dikutip di Sungai Klang, yang mana 40 peratus daripadanya adalah plastik. Jika tidak dibuang dari sungai, plastik pergi ke laut dan ikan makan kemudiannya manusia pula makan ikan,” katanya.

Justeru beliau berharap dengan membawa mangkuk tingkat dan bekas air ia dapat mengurangkan jumlah penggunaan beg plastik yang dijangka bertambah dengan aktiviti bazar Ramadan.

Sumber : SelangorKini
Sila klik pautan di sini 

Last Updated: Thursday, 21 March 2024 - 11:56am