MENU

KLANG, 23 DIS : Empat wartawan Media Selangor terdiri daripada SelangorKini dan TV Selangor berjaya membolot anugerah Majlis Perbandaran Klang (MPK) pada Majlis Malam Media MPK 2018 di Dewan Hamzah, di sini, pada 21 Disember lalu.

Untuk kategori Anugerah Online (Artikel) dimenangi Norhayati Umor dari SelangorKini dengan tajuk artikel “MPK Dihatiku”.

Manakala, kategori Anugerah Media Berinovasi pula dimenangi oleh Anna Farina dari TV Selangor dengan tajuk slot “Jual Minyak Jana Pendapatan”.

Selain itu, Ahmad Nahar Sulaiman dari TV Selangor turut berjaya merangkul kategori Anugerah Televisyen.

Menariknya, majlis bertemakan “Evening In Paris” itu turut mempertandingkan anugerah kepada tiga pemenang wanita dan lelaki yang berjaya mengikut tema ditetapkan.

Johan bagi kategori Anugerah Pakaian Ikut Tema (Wanita) dimenangi oleh Norhayati Umor dari SelangorKini manakala Nazli Ibrahim juga dari SelangorKini mendapat tempat kedua bagi Anugerah Pakaian Ikut Tema (Lelaki).

Terdahulu, Malam Media MPK 2018 itu diadakan bertujuan menghargai dan meraikan pengamal media yang tidak jemu melaporkan berita berkenaan kawasan persekitaran Klang.

Ia juga sebagai tanda terima kasih MPK kepada pengamal media yang sentiasa memberi sokongan padu dan kerjasama erat dalam menjalankan tugas.

Sebanyak 21 pengamal media diraikan antaranya Sinar Harian, News Straits Times Press (NSTP); Radio Televisyen Malaysia (RTM); Karangkraf dan China Press.

Antara pengisian majlis, MPK turut menyediakan 10 Anugerah Khas Media, 10 Anugerah Media (ikut kategori), kuiz dan cabutan bertuah kepada semua pengamal media.

Menariknya, orang ramai turut dihalwakan telinga dengan nyanyian daripada artis legenda, Ameng Spring yang turut mempersembahkan beberapa lagu antaranya Pesanan Buat Kekasih; Romantis; Kita Ditakdirkan Jatuh Cinta dan Sejiwa.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 September 2019 - 2:50pm