MENU

KLANG, 1 DIS: GM Klang memberi impak besar dalam sektor pelancongan di Selangor khususnya Klang berikutan kemampuan pusat pemborong terbesar itu menjadi salah satu tarikan pelancongan di daerah itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Lim Seng Kok berkata, sehingga kini GM Klang berjaya menarik kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara, kira-kira enam hingga tujuh juta setahun.

“Tahun ini adalah ulang tahun ke-10 GM Klang dan kita berasa bangga serta bertuah kerana mendapat sokongan hebat dari pelbagai pihak.

“Ramai yang datang dari seluruh negara dan luar seperti Singapura, Brunei, Filipina, Indonesia serta Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada program Gempakarnival Sempena Ulang Tahun ke-10 GM Klang di sini, malam tadi.

Seng Kok berkata, selain mengunjungi GM Klang, orang ramai turut mengambil kesempatan untuk bermalam dan melawat tempat menarik lain di daerah itu.

Katanya, kejayaan ini diraih dengan adanya sokongan padu Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).

“Kita bekerjasama bukan sahaja dengan MPK tetapi juga Tourism Selangor untuk memperkenalkan Klang kepada semua pelanggan GM Klang dan ini juga sebab kita sediakan ruang bergambar menarik berlatar belakang tulisan ‘Saya Sayang Klang’,” katanya.

 

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 13 Disember 2019 - 7:18pm