MENU

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 SEPT: Tourism Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyertai ‘JATA Tourism Expo JAPAN’, di Tokyo Big Sight, bermula dari 20 hingga 23 September.

Ekspo yang diiktiraf di peringkat global itu menjadi medium penting kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit untuk memperkenal dan menyebar luas hak perniagaan masing-masing.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Dato’ Abdul Rashid Asari berkata, selain mempromosi setiap produk terdapat di Selangor, program itu secara tidak langsung memberi peluang kepada MPK untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih terbaharu iaitu ‘Tourist Privilege Mobile Apps’.

Katanya, ekspo terbabit juga menjadi landasan tepat bagi Tourism Selangor untuk mengangkat pakej pelancongan bercirikan sejarah diraja dan lawatan sambil menimba ilmu pengetahuan.

“Pada masa sama, kami mahu mencari kerjasama baharu bersama usahawan dan agensi pelancongan lain dengan menyediakan promosi pakej menarik serta eksklusif, khususnya kepada pelancong dari Jepun termasuk seluruh dunia.

“Malah, Tourism Malaysia dan pejabat Tourism Malaysia di Tokyo sentiasa memberi sokongan penuh kepada kami selama bertahun-tahun sebagai komitmen membantu menjadikan Selangor sebagai satu destinasi pelancongan utama di Malaysia,

“Selain itu, mereka juga turut serta dalam memperhebatkan promosi ini sehingga memasuki pasaran Jepun,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din optimis terhadap perkembangan positif yang bakal dikecapi Selangor melalui promosi dan pendedahan di Ekspo JATA , sekali gus mampu menarik lebih ramai kedatangan pelancong Jepun ke negeri itu.

“Tourism Selangor bersama MPK akan mempromosikan pakej diraja yang menarik dan ekslusif sepanjang ekspo berlangsung dengan memberi peluang kepada pelancong untuk meneroka pengalaman melawat Istana Alam Shah yang menjadi ikon penting di Klang.

“Pelancong juga boleh merasai hidangan tempatan ketika sesi Hi-Tea, selain berpeluang melawat Muzium Automotif milik Sultan Selangor.

Tahun lalu, Tourism Selangor menerima lawatan rasmi dari Hakuba Tourism Association, di Kuala Selangor.

Lawatan rasmi membabitkan Tourism Selangor dan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) ke Hakuba Goryu City bakal diteruskan tahun ini selepas penyertaan di ‘JATA Tourism Expo JAPAN’.