MENU

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 29 MEI: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik rumah yang melakukan pengubahsuaian di daerah itu tanpa kebenaran pihaknya.

Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, larangan itu juga membabitkan individu yang didapati membina rumah bagi tujuan perniagaan.

Katanya, MPK tidak akan teragak-agak merobohkan premis itu jika pemiliki didapati ingkar arahan diberikan pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

“Tindakan mengubah suai rumah tanpa kelulusan daripada kami bakal mendatangkan pelbagai risiko yang tidak diingini, sekali gus menganggu ketenteraman awam.

“Malah, tindakan mereka yang menjadikan kediaman sebagai premis perniagaan juga satu kesalahan kerana berniaga di luar kawasan ditetapkan dan bakal menimbulkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bulanan Bil 5/2019 MPK, di sini, hari ini.

Katanya, tindakan akan dikenakan mengikut Seksyen 70 (11), Seksyen 70 (12) dan Seksyen 70 (13) (d) Akta Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

“Oleh itu, mereka yang ingin melakukan pengubahsuaian diminta hadir membuat permohonan dan mendapatkan kebenaran dari kami,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 20 September 2019 - 5:32pm