MENU

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 JAN : Selepas 24 tahun beroperasi, Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau akhirnya menamatkan operasinya bermula 12.00 malam tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, ia sekali gus memberikan kegembiraan buat warga Selangor.

Beliau berkata, pemansuhan itu juga dianggap sebagai kejayaan terbesar rakyat dalam menuntut pemansuhan tol terus dilaksanakan, seiring hasrat berkebajikan Kerajaan Pakatan.

“Ini sebagai satu kejayaan dan aspirasi tahun baru buat rakyat yang sejak dari awal menuntut tol ini dihapuskan.

“Kejayaan terbesar kita juga apabila berjaya menghalang konsesi tol ini disambung untuk tempoh sehingga 2038,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan masyarakat tempatan turun padang pada program ‘Tamat Tol, Bebas Rakyat’ di Tol Sungai Rasau meraikan pemansuhan kedua-dua tol berkenaan, lewat tengah malam tadi.

Untuk rekod, Sebanyak 155,000 kenderaan menggunakan laluan bertol (Batu Tiga dan Sungai Rasau) setiap hari.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pengumuman Belanjawan 2018 lalu mengumumkan pemansuhan tol berkenaan dilaksanakan berkuatkuasa 1 Januari 2018.

Pemansuhan berkenaan menyaksikan Kerajaan Persekutuan terpaksa membayar pampasan sebanyak RM102 juta setahun, selepas lanjutan kontrak sehingga 2038 dimansuhkan susulan wujudnya tekanan daripada rakyat agar pemansuhan dibuat.

Meraikan kejayaan itu, penduduk tempatan Mohamad Hakim Zulkafri, 26 berharap pemansuhan tol boleh dilaksanakan di seluruh negara.

Katanya, ia perlu dilaksanakan seiring tangunggjawab Kerajaan Persekutuan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kadar kenaikan tol berterusan oleh syarikat konsesi.

“Ada negara-negara maju di luar negara yang tidak mengenakan tol yang banyak kepada rakyat negara mereka.

“Berbeza dengan Malaysia, banyak tol dibina dan memberi pulangan keuntungan untuk tempoh yang panjang kepada syarikat konsesi.

“Ini tentunya akan memberi kesan jangka panjang kepada rakyat yang terpaksa membayar tol secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, Aliff Danial, 27 berharap pemansuhan kedua-dua tol berkenaan akan menjadi lembaran baru kepada rakyat tempatan sebelum ini yang terpaksa berdepan dengan kos kenaikan hidup kini.

“Terima kasih kepada semua pihak yang sebelum ini turun padang mendesak supaya tol ini dimansuhkan.

“Saya berharap, langkah ini akan diteruskan di tol-tol dan (Kerajaan Persekutuan) jangan lagi dibina terlalu banyak tol dan memaksa rakyat untuk terus membayar,” katanya.