MENU

KLANG, 16 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Pejabat Tanah dan Daerah Klang bertindak menyita serta merta sebuah tapak pelupusan sampah haram di Kampung Perepat di sini, kata timbalan yang dipertua MPK.

Elya Marini Darmin berkata tindakan dilakukan hasil aduan awam dan tinjauan di kawasan seluas 12,140.57 meter persegi itu mengenal pasti operasinya bermula kira-kira sebulan lalu.

“Hasil pemeriksaan juga mendapati pemilik menyewakan tanah ini untuk aktiviti pembuangan sisa domestik dan industri maka kita memberikan tempoh dua bulan kepada pihak berkaitan untuk pembersihan juga pemuliharaan kawasan ini.

“Tindakan dijalankan menerusi notis 7A dan jika gagal tanah ini akan dirampas,” katanya ketika ditemui selepas lawatan ke tapak berkenaan di sini, semalam.

Elya berkata MPK sedang mengenal pasti beberapa lori didakwa melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab itu berdasarkan nombor kenderaan yang didapati dari penduduk sekitar dan ini membolehkan tindakan penguatkuasaan dilakukan.

Beliau berkata, pada masa sama terdapat 18 kawasan panas dikenal pasti menjalankan aktiviti pembuangan sampah haram di daerah itu dan 91 kenderaan disita sepanjang tahun lalu.

“Kita juga sedang menyediakan pemasangan kamera litar tertutup di jalan Kampung Kebun Nenas, Pulau Indah sepanjang dua kilometer bagi mengelakkan aktiviti ini berlaku.

“Ia sebagai usaha MPK menangani masalah ini kerana kawasan itu merupakan paling banyak berlaku kes pembuangan sampah haram,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Jumaat, 14 Februari 2020 - 10:14am