MENU

OLEH SABIRAH AZIZ

KLANG, 30 OKT: Program penanaman pokok api-api perlu diteruskan bagi melindungi pesisiran pantai daripada pelbagai ancaman fizikal seperti masalah hakisan, ombak besar dan tsunami.

Pegawai Daerah Klang, Mohd Zainal Mohd Nor berkata, ia turut berfungsi menapis kotoran filamen, pencemaran dan menjadi pertahanan bagi mengelakkan hakisan pantai yang kerap berlaku sekiranya air pasang besar melanda dengan adanya penanaman terbabit.

“Kawasan persisiran pantai di kampung ini adalah warisan tropika berusia beratus tahun dahulu serta mempunyai kepelbagaian flora dan fauna jadi ia perlu dipelihara juga dipulihara supaya terus dihayati oleh generasi semasa juga akan datang sama ada warga penduduk daerah klang atau luar dari daerah ini.

“Sehubungan itu, aktiviti pemuliharaan ini sangat penting walaupun ia mempunyai kepentingan yang sedikit kepada kehidupan manusia, namun risiko kepupusan alam amat membimbangkan di kawasan persisiran pantai, pada masa kini,” katanya.

Mohd Zainal berkata, antara kemusnahan yang berlaku di pesisir pantai berpunca daripada pelbagai aktiviti seperti penternakan udang, pembangunan fizikal dan pembalakan bakau.

“Tumbuhan pesisir pantai ini juga menjadi tempat perlindungan dan habitat pelbagai hidupan selain menjadi sumber makanan kepada ketam, udang juga ikan yang mempunyai nilai ekonomi penting bagi rakyat serta penduduk setempat, maka pelaksanaan aktiviti ini sangat tepat kerana dapat memupuk kesedaran kepada penduduk.

“Saya harap usaha ini dapat diteruskan menerusi kerjasama antara penduduk dan pihak berkaitan bagi membantu memulihara khazanah alam ini,” katanya ketika berucap merasmikan Program Penanaman Pokok Api-Api di Persisiran Pantai Benteng Pecah, Kampung Sungai Serdang, Kapar, di sini, hari ini.

Program itu bertujuan memupuk kesedaran kepada orang ramai bagi meneruskan usaha pemeliharaan serta pemulihan khazanah alam, di samping melindungi pesisir pantai daripada pelbagai ancaman.

Kemaskini Terakhir: Isnin, 13 November 2017 - 4:21pm