MENU

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 20 JUN : Majlis Perbandaran Klang (MPK) melalui syarikat Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) bercadang akan membangunkan perkhidmatan pengangkutan air terbaharu di Sungai Klang yang dikenali sebagai ‘water taxi’ atau teksi air.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, perkara itu sudah dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan kerja penyelenggaran akan dimulakan dalam tahun ini.

Katanya, LLSB anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor turut bercadang mahu menjadikan kawasan persekitaran di Sungai Klang lebih menarik.

“LLSB akan mengambil alih penjagaan sekitar kawasan rekreasi Pengkalan Batu untuk dijadikan ia lebih menarik berbanding sebelum ini.

“Manakala di muara Sungai Klang iaitu sempadan kawasan Sultan Sulaiman turut terdapat rizab hutan kira-kira lebih 50 ekar (20.23 hektar) yang turut berpotensi dibangunkan sebagai kawasan ekopelancongan.

“Kawasan ini juga akan dibina jeti dan diwujudkan juga ‘water taxi’ (teksi air) di Sungai Klang ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri bersama MPKlang 2019 di Taman Pengkalan Batu, Kawasan 1, di sini, hari ini.

Terdahulu, hampir 5,000 penduduk sekitar Klang hadir memeriahkan Majlis Mesra Aidilfitri bersama MPKlang 2019, di sini.

Mengulas berkenaan majlis itu dilaksanakan berdekatan Sungai Klang, Mohamad Yasid berkata, ia bertujuan untuk mempromosikan kawasan itu sebagai ekopelancongan selain menarik lebih ramai orang berekreasi di kawasan terbabit.