MENU

OLEH AFIX REDZUAN

TANJONG KARANG, 7 JUN: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid Al-Jannah, Kampung Haji Razali di Tanjong Karang di sini sempena Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya.

Masjid yang mula dibina pada 16 Julai 2009 ini siap digunakan pada penghujung 22 April 2010 dengan kos sebanyak RM1.67 juta.

Ia didirikan di atas tanah lot seluas dua ekar yang diwakafkan Jamingan Juki dan Yadan Mabni serta mampu memuatkan sehingga 300 jemaah dalam satu masa.

Masjid Al-Jannah ini turut menyelia empat buah surau iaitu Surau Ar-Rahmaniah, Surau Haji Fakeh, Surau Al Azil dan Surau Al Akhlak.

CP2A4167-1024x683

Hadir sama Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa dan Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Turut hadir Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim, Exco-Exco Kerajaan Selangor dan Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS), Tan Seri Syed Anwar Syed Putra.

Dalam majlis sama Sultan Selangor turut menyampaikan sumbangan Hari Raya berjumlah RM186,000 kepada 278 orang asnaf fakir dan asnaf miskin serta 94 orang asnaf mualaf.

Kesemua mereka menerima sumbangan RM500 setiap seorang.

Sejurus kemudian Sultan Sharafuddin menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak serta disusuli solat sunat Terawih sebelum berangkat pulang.

 

Sumber: Selangorkini