MENU

LEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 29 MEI : Setiausaha Majlis Perbandaran Klang (MPK), Adi Faizal Ahmad Tarmizi bakal memulakan tugas sebagai Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkuat kuasa 1 Jun ini.

Adi Faizal ketika ditemui berkata, pengalaman selama tiga tahun berkhidmat di MPK akan menjadi satu jambatan perubahan yang boleh diaplikasikan di tempat baharu akan datang.

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih terutama kepada Yang Dipertua, Ahli Majlis, ketua jabatan dan rakan agensi kerajaan lain, wargakerja MPK dan media yang banyak membantu dalam memberi input menjadikan Klang maju serta makmur.

“Mudah-mudahan pengalaman sepanjang berkhidmat di MPK ini dapat diaplikasikan di tempat baharu yang saya akan mula lapor diri pada 1 Jun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Penuh Bulanan Bil 5/2019 MPK, di sini, hari ini.

Turut hadir Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan Ahli Majlis MPK.

Mengulas berkenaan pengalaman mencabar sepanjang berkhidmat di MPK, Adi Faizal berkata, antara perkara tidak boleh dilupakan adalah menangani kes bunga api pada malam tahun baharu 2016.

“Banyak perkara yang saya pelajari ketika itu dan ia menjadi iktibar bukan setakat kepada saya sebaliknya mungkin Dato’ YDP serta seluruh warga kerja MPK.

“Ia berkenaan betapa pentingnya pengurusan bagi memastikan sesuatu perkara itu berjalan secara efektif dan baik tanpa ada sebarang pelanggaran undang-undang,” katanya.

Manakala, katanya, perkara manis sepanjang berkhidmat di MPK tidak terkira namun paling menggembirakan apabila MPK berjaya menjadi juara keseluruhan Sukan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia pada 2017 dan naib juara bagi tahun lalu.