MENU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 JUL: Selangor muncul satu-satunya negeri mendapat lima bintang bagi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi penilaian Sistem Penarafan Bintang (SPB-PBT) tahun lalu.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kejayaan itu membuktikan usaha di 12 PBT dalam mengekalkan kecemerlangan serta usaha mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tercapai.

“Ini pencapaian yang baik berbanding penilaian 2016 iaitu 10 PBT di Selangor mendapat penarafan lima bintang manakala dua PBT mendapat penarafan dua bintang.

“Justeru, dengan penarafan lima bintang di semua PBT tahun lalu akan mendorong PBT-PBT ini meneruskan dan mengekalkan pencapaian ini pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis penghargaan kepada PBT atas pencapaian cemerlang dalam SPB-PBT, di SUK, di sini.

Pada masa sama, Sze Han berkata, penarafan itu penting untuk memastikan PBT serius dalam memberi khidmat kepada rakyat, pelanggan dan pemegang taruh secara keseluruhannya.

Dalam majlis itu, Sze Han turut menyampaikan sijil penghargaan dan wang tunai kepada semua 12 PBT negeri itu.

SPB-PBT diperkenalkan Kerajaan Persekutuan melalui Mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan pada 2007 untuk menilai tahap penyampaian PBT di seluruh negara.

Menerusi penilaian itu, PBT akan diletakkan pada suatu tahap kedudukan bintang yang sesuai berdasarkan markah yang diperolehi selain mewujudkan budaya kecemerlangan berteraskan prestasi melalui persaingan sihat dalam kalangan PBT.

Untuk rekod, Majlis Bandaraya Petaling Jaya memperolehi 97.6 peratus, Majlis Bandaraya Shah Alam (97.5 peratus), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (96.85 peratus), Majlis Perbandaran Kajang (96.74 peratus), Majlis Daerah Kuala Selangor (96.29 peratus), Majlis Perbandaran Subang Jaya (96.04 peratus), Majlis Perbandaran Klang (96.03 peratus) dan Majlis Perbandaran Selayang (95.20 peratus).

Manakala, Majlis Derah Kuala Langat (94.71 peratus), Majlis Perbandaran Sepang (93.64 peratus), Majlis Daerah Hulu Selangor (92.66 peratus) dan Majlis Daerah Sabak Bernam (91.61 peratus).