MENU

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 23 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar perlu mengeluarkan garis panduan lebih ketat bagi mengawal kemasukan sisa plastik haram ke Selangor.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awan dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, hal itu kerana bidang kuasa Kerajaan Negeri terhad kepada tindakan rampasan tanah dan perlesenan.

“Kerajaan Negeri memerlukan bantuan daripada kedua-dua kementerian ini supaya menggariskan satu polisi lebih ketat supaya boleh mengawal punca dalam isu ini,” katanya kepada media selepas Operasi Bersepadu Penguatkuasa Kilang Plastik Tanpa Lesen di Telok Gong, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Sze Han berkata, Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk merampas tanah yang dijadikan kilang haram memproses plastik berkenaan.

Katanya, ia dilakukan di bawah Notis 7B kerana menyalahgunakan tanah berkenaan.

“Kita memberikan tempoh untuk membersihkan kilang haram ini dan sekiranya gagal, notis 7B akan dikeluarkan.

“Di Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), terdapat 33 kilang haram beroperasi, dua daripada masih berdegil dan Kerajaan Negeri akan merampas tanah itu.

“Dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan tindakan tegas akan diambil dan jika gagal memulihkan tanah itu, maka ia akan dirampas,” katanya.

Selain itu, beliau mencadangkan supaya Tenaga Nasional Berhad dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd supaya memotong bekalan di kilang haram itu serta merta.

Sze Han turut memberi amaran kepada negara luar yang mengeksport sisa plastik secara haram supaya menghentikannya.

“Tolong ambil semula sisa plastik ini. Malaysia bukan lambakan sisa plastik, kita tidak membenarkan kilang plastik haram beroperasi memproses sisa ini,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 September 2019 - 8:50am