MENU

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 NOV: Semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini disarankan ‘berfikir diluar kotak’ seperti Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin apabila mengarahkan warga asing membersihkan sendiri kawasan kediaman mereka.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, sikap tidak bertanggungjawab warga asing membuang sampah sarap di kediaman berkenaan sewajarnya diambil tindakan tegas.

Katanya, tindakan Mohamad Yasid seharusnya dipuji semua pihak dan dijadikan contoh kepada PBT lain.

“Saya melihat ia satu langkah baik bagi meningkatkan kesedaran warga asing mengenai isu kebersihan. Mereka ini kurang menitikberatkan aspek ini walaupun ia mungkin akan menyebabkan isu kesihatan terjejas.

“Menerusi cara ini, saya berharap warga asing sedar dan tidak pandang enteng apa yang mereka sudah lakukan.

“Saya mahu ia dilaksanakan secara berterusan. Juga pihak PBT lain boleh mengikuti langkah ini di seluruh negeri,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Sze Han berharap, pemantauan oleh MPK juga dapat dilakukan dari masa ke masa dan mengambil tindakan lebih tegas sekiranya mereka ingkar.

Selasa lalu, sikap warga asing yang tidak bertanggungjawab melempar semua jenis sampah dari atas pangsapuri di Bandar Sultan Sulaiman, menimbulkan rasa ‘geram’ MPK.

Sikap pengotor berpunca daripada ramainya warga asing menghuni pangsapuri berkenaan sehinggakan bahagian bawah pangsapuri penuh sampah.

Biarpun, MPK berkali membersihkan kawasan berkenaan namun, keadaannya tetap tidak berubah.

Justeru, Mohamad Yasid turun padang melihat sendiri keadaan sampah di pangsapuri berkenaan dan mengarahkan warga asing yang tinggal di pangsapuri berkenaan turun untuk membersihkan kawasan itu serta merta.

Kemaskini Terakhir: Khamis, 19 September 2019 - 2:50pm