MENU

KLANG, 3 OGOS: Program Retro Klang 2019 antara landasan terbaik mempromosikan Klang Heritage Walk, kata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Beliau berkata, kebanyakan orang awam atau pelancong dialu-alukan mengambil pakej Klang Heritage Walk bagi menyelusuri pelbagai lagi tempat menarik dan bersejarah yang wujud di daerah ini.

“Sekiranya ada dalam kalangan pelancong luar atau tempatan ingin menerokai bandar Klang, mereka boleh mendapatkan pakej Klang Heritage Walk itu daripada kebanyakan pengusaha pelancongan di daerah ini.

“Pakej Klang Heritage Walk ini memang sentiasa ada bagi menarik lebih ramai pengunjung ke Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika sidang media selepas Majlis Perasmian Retro Klang di Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelancongan, Kebudayaan Dan Pelancongan, Peradaban Melayu Dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; Pengerusi Galeri DiRaja Sultan Abdul Aziz, Tengku Dato’ Setia Putra Alhaj Ibni Tengku Azman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu Berhad, Mohd Rani Hisham Samsudin.

Pada masa sama, Mohamad Yasid berkata, beliau turut menggalakkan orang awam untuk memuat naik aplikasi Loco Mole bagi mengetahui pelbagai lagi tempat menarik yang ada di sekitar Klang.

“Pelbagai tempat akan disenaraikan di aplikasi Loco Mole itu bagi memudahkan mereka yang mahu meneroka Klang tetapi pada masa sama ingin mengetahui sejarah disebalik pembagunan di sini,” katanya.

Abdul Rashid (berdiri tengah) bergambar bersama peserta Program Retro Klang di Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang. Foto HAFIZ OTHMAN/SelangorKini

Terdahulu, hampir 2,000 peserta memeriahkan acara ‘flashmob’ bertemakan Keretapi Sarong dengan masing-masing berpakaian tradisional Malaysia, pada program Retro Klang 2019 sempena sambutan Hari Kemerdekaan, tidak lama lagi.

Kumpulan ‘Flashmob’ terbabit berkumpul di Kuala Lumpur Sentral seawal 8.15 pagi sebelum memulakan perjalanan menaiki komuter ke stesen Klang.

Program itu bertujuan memperkenalkan kebudayaan di Selangor dan sebagai landasan untuk mempromosi keistimewaan yang ada di negeri ini terutama Bandar Diraja Klang.