MENU

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 19 MAC: Rancangan Tempatan (RT) Majlis Perbandaran Klang (MPK) Penggantian 2035 memfokuskan cadangan menambah dan menaiktaraf kemudahan awam bagi memastikan keperluan penduduk Klang dapat disediakan, menjelang tahun 2035.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kemudahan awam seperti hospital, pusat riadah, sekolah dan institusi pengajian tinggi turut diberi perhatian.

Justeru, lima dimensi utama diberi fokus dalam usaha berkenaan selaras hasrat menjadikan Klang sebagai Bandaraya Warisan Diraja pertama, di Malaysia.

“Lima dimensi itu membabitkan gunatanah dan sumber asli, ekonomi berdaya sains, komuniti sejahtera, persekitaran berkualiti, infrastruktur dan pengangkutan efisien serta governans efektif.

“Beberapa kawasan pembangunan dikenal pasti di zon koridor utara dan selatan iaitu Pelabuhan Klang, Pulau Indah, Kapar, Meru dan Bandar Botanik,” katanya pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan MPK 2035 (Penggantian), di Dewan Hamzah, di sini, hari ini.

Mohamad Yasid berkata, semua dimensi itu mengambil kira 15 sektor utama antaranya sektor perancangan gunatanah, perumahan dan petempatan, komersial dan industri.

“Selain itu, ia turut membabitkan kemudahan masyarakat dan komuniti, infrastruktur dan utiliti, pengurusan lalu lintas dan pengangkutan awam, asas ekonomi dan demografi serta pelancongan reka bentuk bandar dan landskap,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, kepesatan pembangunan di Klang pada masa kini menyebabkannya dipinda beberapa kali selaras dengan permintaan dan trend pembangunan serta dasar juga polisi kerajaan.

“Ia termasuk penyediaan Rumah SelangorKu, konsep Smart Selangor yang peduli rakyat, Internet Of Things dan dasar baharu berikutan geopolitik semasa.

“Projek infrastruktur dan kemudahan pengangkutan awam yang berimpak tinggi mengubah pembangunan di Klang antaranya jambatan ketiga, projek transit ringan LRT 3 dan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

“Projek itu mewujudkan Transit Oriented Development yang berpontensi dan akan menarik minat pemaju juga pelabur untuk mewujudkan lebih banyak pusat pertumbuhan baharu,” katanya.

Kemaskini Terakhir: Rabu, 18 September 2019 - 12:33pm